AM

Fasa Ujian, Pentauliahan ECRL Bermula Jun 2026

04/02/2025 11:29 PM

KUANTAN, 4 Feb (Bernama) -- Fasa Ujian dan Pentauliahan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi jajaran fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor akan bermula Jun 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Beliau berkata ujian dan pentauliahan yang akan dijalankan secara menyeluruh itu bertujuan memastikan kesediaan sistem ECRL dapat berfungsi dengan baik dan lancar sebelum ia beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027 bagi jajaran fasa pertama.

Darwis berkata set pertama daripada keseluruhan 11 set tren Electric Multiple Unit (EMU) enam gerabak untuk penumpang akan sampai di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

“Lokomotif elektrik pertama daripada 12 unit lokomotif elektrik untuk pengangkutan kargo semasa pengoperasian ECRL, turut akan tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

“Tren EMU dan lokomotif yang pertama dijangka tiba sama ada November atau Disember tahun ini. Tren seterusnya akan tiba secara berperingkat dengan keseluruhannya pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Laporan Impak Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi Projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 di sini hari ini. 

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Kewangan II Datuk Seri Dr Amir Hamzah Azizan.

Darwis berkata semua kerja pemasangan landasan ECRL di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

“Pemasangan landasan sepanjang 400 kilometer (km) dari Maran, Pahang ke Kota Bharu telah selesai pada 15 Jan tahun ini. Kerja pemasangan landasan sepanjang 100 km antara Maran dan Bentong akan bermula pada April ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Mengenai pembinaan Terowong Genting sepanjang 16.39 km, Darwis berkata kerja pengorekan terowong telah mencapai jarak 14.3 km sejak ia dimulakan pada Jun 2022.

"Terowong Genting dijangka mencapai penembusan pada Mei tahun ini," katanya.

Kemajuan keseluruhan projek ECRL yang merangkumi empat negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor sudah mencapai 78.5 peratus setakat bulan lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan