AM

Inisiatif Pusingan Kerja Tidak Jejas Operasi Perkhidmatan Kaunter - KPPA

05/02/2025 02:54 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Inisiatif Pusingan Kerja Petugas Kaunter yang bermula semalam, tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kaunter di semua kementerian atau jabatan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata pusingan kerja itu tidak dibuat sekali gus, sebaliknya masih mengekalkan beberapa petugas berpengalaman dengan hanya sebahagian daripada petugas terlibat yang ditukarkan dahulu. 

“Kemudian masuk fasa kedua, mereka yang sudah lama kita keluarkan supaya berlaku proses transformasi berkaitan pengetahuan dan urusan yang (perlu) dilaksanakan di kaunter,” katanya kepada pemberita selepas Amanat 2025 KPPA di sini hari ini.

Wan Ahmad Dahlan juga menegaskan urusan perkhidmatan di kaunter penting dan perlu dikendalikan oleh petugas berpengetahuan dalam setiap urusan di bawah tanggungjawab kementerian atau jabatan terlibat. 

“Sebagai contoh, mungkin ada pelanggan datang untuk mendaftar kelahiran anak tetapi datangnya lewat. Kalau petugas kaunter tidak ada pengetahuan bahawa mereka boleh diterima di bawah urusan daftar lewat pasti (permohonan itu) ditolak kerana sudah lambat,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berpendapat tempoh enam bulan adalah sesuai untuk melengkapkan petugas baharu dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, sebelum berlaku transisi selain munasabah mengambil kira jumlah kaunter yang banyak serta pelbagai jenis perkhidmatan.

Sebelum ini, Wan Ahmad Dahlan dilaporkan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menyelaraskan pertukaran petugas kaunter perkeranian yang merupakan pegawai guna sama melibatkan 1,063 orang.

Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata beliau telah meletakkan jangka masa kepada kementerian dan jabatan untuk meningkatkan perkhidmatan selari dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu perkhidmatan awam kekal berdaya saing.

“(Penetapan jangka masa ini) berdasarkan rungutan daripada pelanggan kita selama ini serta pemerhatian Perdana Menteri terhadap penjawat awam seperti ada yang malas dan sebagainya.

“Jangka masa ini sangat baik untuk mengukur tahap kepantasan kerana dunia semakin canggih, selain penggunaan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan sebagainya yang juga memerlukan kepantasan,” katanya.

Mengenai pengenalan Skim Lantikan Tetap Bercarum (LTB), Wan Ahmad Dahlan berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dan Bahagian Pencen JPA perlu melaksanakan pembentangan perincian LTB dalam tempoh tiga bulan.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan