AM

KPKT Serah Kad Laporan Pencapaian 2024 Kepada Perdana Menteri

05/02/2025 07:37 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini menyerahkan Kad Laporan Pencapaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2024 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nga dalam kenyataan hari ini berkata berkata Perdana Menteri telah merakamkan ucapan tahniah serta memberikan sokongan penuh kepada KPKT untuk terus memperkukuh usaha dan komitmen mereka.

“KPKT komited untuk terus berusaha dan berazam menjadi antara kementerian paling berprestasi cemerlang serta menjadi pusat kecemerlangan perkhidmatan awam negara,” katanya. 

Beliau berkata antara pencapaian utama KPKT pada 2024 adalah pemulihan 862 projek atau 102,808 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM85.82 bilion dalam tempoh dua tahun melalui Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai.

“KPKT turut berjaya membaik pulih 4,814 unit rumah serta membina 245 unit rumah baharu bagi golongan kurang bernasib baik dengan peruntukan berjumlah RM104.4 juta,” katanya.

Menurut Nga, KPKT juga telah meluluskan pembinaan 7,243 unit MyKiosk di 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan ribuan usahawan mikro, kecil dan sederhana.

“Pada 2024, KPKT telah mengungguli Anugerah Pembangunan Negara (APN) buat kali pertama.

“Bagi 2025, KPKT menyasarkan untuk meningkatkan prestasi ke peringkat antarabangsa, dengan Malaysia melalui KPKT sedang bertanding untuk jawatan Presiden Perhimpunan Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026-2029,” katanya.

Nga berkata pada tahun ini, KPKT akan mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan penjawat awam yang berjaya memenangi anugerah berprestij itu berpeluang meraih hadiah wang tunai RM20,000 serta menghadiri kursus di universiti terkemuka dunia termasuk University of Oxford.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan