AM

ST Terima Maklum Balas Berkaitan Kos Elektrik Dan Perancangan TBB

05/02/2025 09:40 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Ketelusan mengenai kos pembekalan elektrik serta cadangan agar perancangan pembekalan elektrik negara, khususnya berkaitan Tenaga Boleh Baharu (TBB), dilaksanakan secara menyeluruh merupakan antara maklum balas yang diterima oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini.

Maklum balas tersebut susulan sesi libat urus yang diadakan oleh ST bersama pemain industri dan komuniti perniagaan bagi mendapatkan pandangan berhubung penetapan jadual tarif baharu di Semenanjung.

Dalam kenyataan hari ini, ST memaklumkan secara keseluruhannya, rata-rata wakil pemain industri dan komuniti perniagaan memberikan maklum balas positif berkaitan cadangan semakan semula jadual tarif sedia ada.

“Bagaimanapun, beberapa pihak menekankan kepentingan ketelusan dalam penetapan kos pembekalan elektrik yang akan dikenakan serta mencadangkan agar perancangan pembekalan elektrik negara, khususnya berkaitan TBB dilaksanakan secara holistik.

“ST mengambil maklum pandangan yang dikemukakan oleh wakil pemain industri dan komuniti perniagaan dalam sesi libat urus ini, yang akan dipertimbangkan dalam pelaksanaan semakan semula jadual tarif baharu di Semenanjung,” menurut kenyataan itu.

Antara pemain industri dan komuniti perniagaan yang hadir ialah Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang akan berkuat kuasa mulai Julai ini.

Beliau memaklumkan bahawa kenaikan ini tidak akan memberi kesan kepada 85 peratus isi rumah dan hanya melibatkan sektor industri serta golongan berpendapatan tinggi (maha kaya) mengikut kaedah Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

Tarif asas elektrik di Malaysia ditetapkan oleh ST di bawah kerangka Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun.

Selain itu, mekanisme ICPT disemak setiap enam bulan bagi melaraskan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api.

Semakan tarif seterusnya dijadualkan pada Julai 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan