KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) tiga negeri yang terjejas dengan bencana itu iaitu Johor, Sarawak dan Sabah, meningkat setakat 8 pagi ini berbanding semalam.
Di JOHOR, negeri yang terbaharu dilanda banjir sejak petang semalam menyaksikan jumlah mangsa yang dipindahkan sedikit meningkat kepada 372 orang berbanding 364 orang malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa ditempatkan di tiga PPS di daerah Kota Tinggi iaitu Dewan Muafakat Taman Desaru Utama dengan 172 orang, Dewan Kampung Baru Sungai Mas (40 orang) dan Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar (160 orang).
“Selain itu, stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang, dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu dengan bacaan 14.57 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SARAWAK masih menjadi negeri yang teruk terjejas dengan bencana itu dengan merekodkan peningkatan mangsa yang dipindahkan di 30 PPS iaitu 5,384 orang berbanding 5,125 orang malam tadi, setelah beberapa hari mencatatkan penurunan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan dua bahagian di negeri itu mencatatkan peningkatan iaitu Bahagian Sibu seramai 1,142 berbanding 876 orang dan Bahagian Mukah, 528 mangsa berbanding 501 mangsa malam tadi.
“Jumlah mangsa di Bahagian Bintulu pula mencatatkan sedikit penurunan dengan 1,864 orang berbanding 1,865 orang, begitu juga Bahagian Miri turut berkurang kepada 1,184 orang daripada 1,217 orang sebelum ini, manakala jumlah mangsa di Serian (507), Samarahan (149), dan Sarikei (10) kekal ” katanya.
Di SABAH, Keningau menjadi daerah terbaharu dilanda banjir lewat malam tadi, selain Kinabatangan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 319 daripada 82 keluarga pada pagi ini, berbanding 228 daripada 60 keluarga pada 8 malam tadi.
“Seramai 66 orang (16 keluarga) dipindahkan ke sebuah PPS di Keningau, manakala 253 orang (65 keluarga) berlindung di dua PPS di Kinabatangan,” menurut jawatankuasa itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial