SEREMBAN, 9 Feb (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI di Negeri Sembilan merekodkan nilai jualan sebanyak RM51.2 juta pada tahun lepas berbanding RM12 juta pada tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata jumlah itu membabitkan 880 pelaksanaan menerusi 47 siri merangkumi jualan di dalam premis sebanyak 582 program, bergerak (238) dan terbuka/premium (60).
“Pada 2024, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM11.4 juta yang membantu lebih sejuta penduduk Negeri Sembilan dengan jumlah jualan juga menunjukkan peningkatan yang tinggi.
“Kita sasarkan tahun ini jumlah jualan meningkat 100 peratus seiring peningkatan peruntukan untuk Jualan Rahmah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Program Jualan Rahmah MADANI “Kembali ke Sekolah” yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan di sini hari ini.
Veerapan berkata peningkatan nilai jualan itu membuktikan bahawa program berkenaan mendapat sambutan baik daripada semua pihak termasuk pemain industri sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Mengenai program hari ini, beliau berkata ia menawarkan pakaian dan peralatan sekolah pada harga hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran semasa membabitkan penyertaan 21 pasar raya dan outlet di seluruh negeri.
Beliau berkata anggaran peruntukan untuk program itu berjumlah lebih RM3.3 juta yang memanfaatkan hampir 200,000 pelajar di negeri ini.
Sementara itu, peniaga, Mohd Firdaus Ahmad Hussain, 38, berkata program seumpama itu boleh diadakan setiap tahun bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli kelengkapan sekolah anak masing-masing dengan harga yang lebih murah.
“Biasanya saya peruntuk RM500 bagi dua anak untuk kelengkapan sekolah, jadi kalau ada jualan murah seperti ini saya boleh berjimat, lazimnya sepasang baju sekolah harga sekitar RM80 hingga RM90 sepasang, tetapi di sini boleh dapat hampir separuh harga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial