ALOR SETAR, 10 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan kebakaran rumah di Tongkang Yard dekat sini dan di Kupang, Baling berpunca daripada petrol.
Pengarah JBPM Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata dapatan Jabatan Kimia itu sekali gus menunjukkan terdapat unsur jenayah dalam dua kejadian berkenaan.
“Apabila berlaku kebakaran, bomba akan ke lokasi kejadian dan ambil sampel untuk dihantar ke makmal kimia di Pulau Pinang. Hasil yang diperoleh adalah positif di mana petrol menjadi punca bahan bakar kepada dua kejadian kebakaran itu.
“Setelah itu, bomba telah menyerahkan laporan berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan kedua-dua kes kebakaran ini dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam hasil kerjasama antara bomba dan agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan kes tersebut hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh memaklumkan sembilan kes kebakaran secara bersiri di Kupang, Baling sejak Disember tahun lepas hingga Januari lepas berunsur khianat manakala kebakaran di Tongkang Yard yang meragut dua nyawa juga dipercayai menggunakan petrol sebagai bahan bakar.
Terdahulu, Awang Hidzel yang menghadiri Majlis Perhimpunan Tahunan JBPM Kedah 2025 di Ibu Pejabat JBPM Kedah telah melaksanakan pemakaian tanda pangkat serta penyerahan sijil kepada pihak media.
Sementara itu, beliau berkata JBPM Kedah merekodkan 9,167 jumlah kes sepanjang 2024 dan daripada jumlah itu, sebanyak 5,155 merupakan kes penyelamatan, kes kebakaran (3,776), kes tugas-tugas khas (218) dan 13 kes panggilan palsu.
"Pada tahun lalu juga, sebanyak 1,980 kes kebakaran kebun, lalang, hutan dan sampah telah direkodkan di negeri ini dan berlaku peningkatan sebanyak 54.9 peratus berbanding 2023 yang mencatatkan sebanyak 1,087 kes,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini juga, JBPM Kedah akan menambah empat lagi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) iaitu PBS Pulau Tuba, Langkawi; PBS Ulu Bakai, Baling; PBS Padang Serai, Kulim Hi-Tech dan dan PBS UUM Bukit Kayu Hitam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial