KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyasarkan bayaran balik oleh peminjam tabung kemahiran itu pada tahun ini akan mencecah RM450 juta.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata PTPK berjaya mengutip bayaran balik pinjaman sebanyak RM234.81 juta pada tahun lepas, peningkatan lebih 50 peratus berbanding 2023 iaitu RM157.29 juta.
“Pada tahun lepas, PTPK telah memberikan pinjaman pendidikan berjumlah RM521.12 juta kepada lebih 25,000 peminjam. Pada tahun ini, kita menyasarkan RM500 juta untuk diberikan kepada sekurang-kurangnya kepada 20,000 rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Promosi Bayaran Balik PTPK 2025 dan Majlis Cabutan Bertuah Mega 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sim berkata PTPK telah menyalurkan dana pinjaman kemahiran sebanyak RM5.2 bilion kepada 400,000 peminjam yang mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sepanjang 25 tahun penubuhannya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah PTPK Zahir Hassan pula berkata pihaknya memperkenalkan enam kempen promosi istimewa pembayaran balik pinjaman serta cabutan bertuah untuk menggalakkan peminjam menunaikan tanggungjawab mereka dan pada masa sama berpeluang memenangi hadiah lumayan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju berkata antara program yang akan diadakan PTPK ialah promosi cabutan bertuah mega sempena Sambutan Jubli Perak PTPK, cabutan bertuah Portal MYPerkasa TVET serta promosi sempena perayaan dan hari kebesaran negara.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan promosi bayaran penuh melalui akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), promosi bayaran balik melalui kad kredit atau kad debit serta cabutan bertuah kepada peminjam yang membuat bayaran melalui potongan gaji.
“Saya yakin segala gerak kerja yang dirancang pada tahun ini akan membuahkan hasil yang positif dan berharap agar sasaran pembayar balik pinjaman pendidikan ini akan tercapai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial