AM

Malaysia Di Landasan Kukuh Untuk Ratifikasi Triti Angkasa UNCOPUOS - Chang

13/02/2025 05:15 PM

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Malaysia kini di landasan kukuh untuk memulakan ratifikasi triti angkasa di bawah United Nations Committee on Peaceful Uses of Outer Space (UNCOPUOS), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata penguatkuasaan penuh Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dan  Peraturan-Peraturan Lembaga Angkasa Malaysia 2024 pada 1 Jan lepas menjadi pencapaian penting dalam membangunkan ekosistem angkasa negara ke arah matlamat berkenaan.

"Akta 834 ialah langkah strategik bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran dan peluang dalam sektor angkasa global," katanya dalam kenyataan hari ini. 

UNCOPUOS ialah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berperanan mengawal selia penggunaan angkasa lepas bagi tujuan keamanan, keselamatan, dan pembangunan antarabangsa. 

Jawatankuasa itu memainkan peranan penting dalam merangka perjanjian serta garis panduan berkaitan eksplorasi dan penggunaan angkasa lepas secara bertanggungjawab, termasuk Perjanjian Angkasa Lepas 1967 selain menggalakkan kerjasama antara negara.

Chang berkata Akta 834 juga menyediakan rangka kawal selia bagi pelesenan aktiviti angkasa, pengurusan insiden dan kemalangan serta perlindungan liabiliti daripada tuntutan ganti rugi kerosakan disebabkan pelancaran dan pengoperasian objek angkasa. 

"Penguatkuasaan penuh Akta 834 bukan sahaja memastikan kawal selia yang cekap tetapi juga merancakkan inovasi dan penyertaan sektor swasta dalam industri angkasa," katanya.

Beliau turut menggariskan sektor angkasa dijangka menyumbang RM10 bilion atau satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baharu serta menghasilkan RM40 juta melalui pasaran data dan perkhidmatan aplikasi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan