AM

IPT Perlu Amal Konsep Kongsi Ilmu, Kepakaran - Zambry

13/02/2025 10:46 PM

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Institusi pendidikan tinggi (IPT) negara ini perlu mengamalkan konsep perkongsian ilmu serta kepakaran bagi menghasilkan sesuatu yang lebih hebat, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Berucap pada majlis Malaysia’s Research Star Award (MRSA) 2025 di sebuah hotel di sini malam ini, beliau berkata amalan tersebut bukan hanya mendatangkan manfaat kepada IPT itu sendiri tetapi turut memberi kesan positif kepada negara.

“Konsep ini sangat mustahak sebab kita sering kali uar-uarkan kepada dunia tentang kepentingannya.

“Jadi, jangan terlalu tertutup dari segi pendekatan bersama ini, jangan masing-masing nak menjaga universiti dan merasakan universitinya lebih baik daripada universiti lain,” katanya.

Beliau berkata warga akademik di IPT perlu saling memberikan sokongan dalam usaha membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar hasilnya dapat dikongsikan kepada masyarakat.

Zambry turut menyeru warga IPT agar menghentikan budaya atau amalan yang boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap institusi pendidikan negara sehingga mencemarkan nama baik IPT masing-masing.

“Kita kena keluarkan diri kita daripada budaya-budaya yang tidak baik di universiti, jangan berantakan sesama sendiri kerana ia akan mematikan tradisi akademik universiti,” katanya.

Mengenai penerbitan bahan ilmiah, beliau berkata penerbitan bahan itu dapat membantu meningkatkan reputasi dan kualiti IPT tempatan.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah MRSA 2025. Semoga kejayaan ini membawa inspirasi ke arah pencapaian yang lebih gemilang,” katanya.

MRSA yang diperkenalkan pada 2012 menyaksikan penyampaian 26 anugerah daripada empat kategori iaitu Frontier Researcher, Outstanding Research in Phytochemicals, Researcher Cluster dan Journal.

Universiti Putra Malaysia mengungguli kategori Frontier Researcher dan Outstanding Research in Phytochemicals.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan