AM

MIGHT, UCSI Lancar Buku "Science Diplomacy In The Global South"

14/02/2025 12:49 AM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) bersama Institut Diplomasi Sains dan Kelestarian (UCSI-IISDS), Universiti UCSI hari ini melancarkan buku bertajuk Science Diplomacy in the Global South.

MIGHT menerusi kenyataan hari ini memaklumkan buku berkenaan mengupas peranan penting diplomasi sains dalam menangani isu global seperti perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti dan pencemaran. 

Ia merupakan hasil karya bersama Pengarah Pengasas UCSI-IISDS dan Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT merangkap Penaung International Network for Government-Science Advice (INGSA-ASIA) Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dan Felo Kanan ATRI Advisory yang juga Timbalan Pengarah Institut Antarabangsa untuk Diplomasi Sains dan Kelestarian (IISDS), Universiti UCSI Prof Dr Mohamad Osman. 

"Buku ini menekankan kepentingan kerjasama serantau serta kerjasama antara negara di Selatan Global dalam mencari penyelesaian, berkongsi sumber dan membangunkan keupayaan.

"Ia turut mengetengahkan kepentingan kolaborasi saintifik dan penyelidikan dalam membentuk dasar antarabangsa serta memudahkan kerjasama rentas negara bagi menangani cabaran bersama dan memperkukuh kepentingan sejagat," menurut kenyataan itu. 

Majlis pelancaran simbolik buku berkenaan disempurnakan oleh bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar disaksikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal, Pengerusi Bersama (Industri) MIGHT Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali dan Zakri.

Selain itu, MIGHT dan UCSI-IISDS turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalinkan kerjasama dalam membangunkan Program Sarjana Bersama dalam bidang Foresight. 

"MoU ini meliputi tempoh lima tahun dan merangkumi inisiatif untuk menubuhkan Pusat ASEAN bagi Diplomasi Sains sekali gus memudah cara pertukaran akademik dan penyelidikan, serta membangunkan program latihan dan pembangunan kapasiti," menurut kenyataan itu. 

Dalam sesi menandatangani MoU itu, MIGHT diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rushdi Abdul Rahim manakala Naib Canselor dan Presiden Universiti UCSI Profesor Emerita Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir bagi pihak institusi pengajian tinggi berkenaan.

MIGHT memaklumkan bagi menekankan peranan penting diplomasi sains dalam pembuatan dasar berasaskan bukti yang bebas daripada pengaruh politik, satu sesi dialog peringkat tinggi turut diadakan bertajuk Advising Government about Science.

Panel sesi itu terdiri daripada pakar profesional terkemuka seperti Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaysia Karima El Korri, Syed Hamid, bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Pesuruhjaya Tinggi Maldives ke Malaysia Dr Mariyam Shabeena Ahmed.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan