AM

20,000 Pengunjung Meriahkan Festival Cap Goh Mei Di Padang Kota Lama

14/02/2025 10:03 PM

GEORGE TOWN, 14 Feb (Bernama) -- Kira-kira 20,000 pengunjung termasuk pelancong menghadiri Festival Cap Goh Mei yang diadakan di Padang Kota Lama di sini hari ini.

Festival bertemakan ‘Mengingat Cinta’ dengan upacara unik menghanyutkan limau mandarin ke dalam laut itu turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Berucap pada sambutan berkenaan Chow berkata Cap Goh Mei yang disambut pada hari ke-15 Tahun Baharu Cina bukan sekadar sambutan biasa sebaliknya penuh kasih sayang, tradisi dan perpaduan.

Beliau berkata festival hari ini juga boleh menjadi acara awalan dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Tahun ini, kami (kerajaan negeri) menjangkakan kira-kira 20,000 orang menghadiri Festival Cap Goh Mei dengan lebih sejuta pengunjung dijangka berada di Pulau Pinang sepanjang minggu Tahun Baharu Cina,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata pengunjung turut disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, aktiviti seni dan kraf, serta gerai jualan dari 5 petang hingga 11 malam.

“Festival ini bukan sahaja simbol kegembiraan dan kemakmuran, tetapi juga lambang keharmonian serta perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi tunjang kekuatan negeri dan negara kita," katanya.

Seorang pengunjung dari Alor Setar, Kedah, Melissa Tan, 28, berkata dia mengambil cuti untuk meraikan Cap Goh Mei bersama-sama rakannya.

Festival itu, katanya bukan sahaja menarik komuniti Cina untuk meraikannya tetapi juga kaum lain.

"Setiap tahun saya memang datang ke sini dan tahun ini saya lihat sambutan lebih meriah, masing-masing tidak mahu melepaskan peluang menghanyutkan limau mandarin," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan