AM

Perlis Sasar 10 Hektar Kawasan Penanaman Bawang Merah Dalam Tempoh Lima Tahun

15/02/2025 12:56 PM

ARAU, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Perlis menyasarkan 10 hektar kawasan penanaman bawang merah dalam tempoh lima tahun akan datang, sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import serta memperkukuh keterjaminan makanan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata perkembangan positif melibatkan projek tanaman di Titi Tinggi telah menghasilkan 300 kilogram (kg) bawang membabitkan keluasan 0.3 hektar bagi hasil tuaian pertama.

“Projek rintis tanaman bawang di Titi Tinggi yang terawal kita mulakan tahun lepas dan kini memasuki musim kedua dengan sasaran tuaian 500kg. Hasil tuaian pertama bawang dari kawasan Titi Tinggi ini telah dipamerkan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) lepas,” katanya.

“Selepas di Titi Tinggi, kemudian projek ini diteruskan lagi di Kampung Rambai seluas satu hektar, Hutan Temiang (0.58 hektar) dan Oran (0.29 hektar),” katanya kepada pemberita selepas melawat projek tanaman bawang merah di Kampun Rambai di sini semalam.

Menurut Razali, projek tanaman bawang bukan sahaja meningkatkan pengeluaran bawang merah tempatan tapi turut membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk terlibat dalam industri berkenaan.

"Kita mahu memastikan bekalan bawang merah tempatan mencukupi untuk pasaran tempatan. Apabila hasil tuaian sudah terbukti, semakin ramai pengusaha menunjukkan minat untuk turut serta.

“Kerajaan negeri melalui jabatan berkaitan akan terus memberikan insentif seperti benih, input pertanian dan infrastruktur kepada pengusaha bagi memastikan kejayaan projek ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan