AM

Lorong Kecemasan Bukan Laluan Eksklusif - LLM

15/02/2025 03:58 PM

KUALA PILAH, 15 Feb (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya tidak menganggap laluan kecemasan sebagai lorong eksklusif.

Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun berkata semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal perlu lebih berhati-hati semasa melalui lorong kecemasan bagi mengelak berlaku kemalangan sehingga meragut nyawa.

"Kesedaran yang perlu ada ialah lorong kecemasan bukan eksklusif untuk kita, lorong ini kegunaan semua jenis kenderaan untuk berhenti jika mengalami kerosakan. Jadi kita perlu lebih berhati-hati, ini yang penting.

"Saban hari saya menerima mesej berkenaan kemalangan maut disebabkan motosikal melanggar kenderaan statik, jadi kita cuba mencari penyelesaian masalah ini," katanya kepada pemberita pada program Mini Karnival Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Kampung Terusan Seberang yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Ismail Lasim. 

Sazali berkata dengan adanya lorong pintar (smart lane), kesedaran penunggang motosikal adalah lebih baik dan memahami laluan kecemasan untuk dikongsikan bersama di lebuh raya.

"Sekarang ini, adanya smart lane, kita lihat ada kesedaran. Kalau dulu penunggang motosikal akan tendang dan sebagainya kalau ada kenderaan lain di lorong kecemasan, tapi sekarang mereka tahu jalan ini dikongsi bersama pengguna lebuh raya yang lain," katanya.

Beliau berkata lorong pintar diaktifkan sejak 2023 hanya pada waktu tertentu dan di kawasan kerap berlaku kesesakan untuk laluan kenderaan ringan sahaja dan lori tidak dibenarkan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 160 warga LLM dan rakan strategik lebuh raya menyertai aktiviti gotong-royong hari ini membabitkan kerja-kerja mengecat bangunan, pembersihan di kawasan perkuburan di Kampung Terusan Seberang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan