Oleh Kamarul Halim M Kamal
JOHOR BAHRU, 15 Feb (Bernama) -- Seorang pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir yang berasal dari Pekan Baru, Indonesia sanggup datang ke Malaysia beberapa kali semata-mata untuk mendapatkan pentauliahan sah sebagai mutawif.
Pelajar pengajian Syariah Islamiah, Hikmatal Baari, 24, berkata dengan adanya tauliah itu, kerjayanya sebagai pemandu pelancong bagi jemaah umrah lebih teratur dan bersistematik.
Beliau yang menyertai Kursus Pensijilan Mutawwif anjuran Waqaf An-Nur Corporation Bhd dan Akademi Mutawwif Sdn Bhd tahun lepas berkata selain mempunyai tauliah, kursus itu juga sebagai platform untuk menambah ilmu dalam bidang pengurusan umrah dan keagamaan.
“Setelah adanya tauliah ini hati saya lebih tenang untuk membawa jemaah di mana sebelum ini saya membawa kenalan dari Indonesia mengerjakan umrah tanpa ada panduan dan hanya berdasarkan pengalaman sahaja.
“Setelah mendapat tauliah ini, saya merancang pada tahun ini akan membawa beberapa jemaah dari Indonesia dan Singapura untuk mengerjakan umrah,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pensijilan Mutawwif 2025 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Menurut Hikmatal, yang merupakan satu-satunya warganegara Indonesia yang menerima pentauliahan itu setakat ini, bellau cukup kagum dengan proses melahirkan para mutawif di negara ini yang cukup ketat dan terkawal agar tidak berlakunya penyelewengan atau salah laku ketika pengurusan membawa jemaah ke tanah suci.
Beliau berkata pensijilan mutawif oleh Waqaf An-Nur kini semakin popular dalam kalangan pelajar Universiti Al-Azhar dan beberapa kenalannya juga berhasrat untuk menyertai kursus itu.
Sementara itu, bagi seorang mutawif wanita (mutawiffah) Nor Shafiqah Abd Halim, 30, tujuan beliau menceburi bidang itu adalah kerana keterujaannya untuk ke tanah suci Mekah dan Madinah selain mahu membuang sikap pemalunya.
“Setelah berjaya menjalani ujian praktikal sebagai mutawwifah pada tahun lalu, sedikit demi sedikit saya berjaya membuang sikap pemalu dan dalam masa yang sama mampu berkomunikasi dengan lebih baik sekiranya berhadapan dengan umum selain menjadi mutawwifah yang profesional,” katanya.
Pada majlis yang berlangsung hari ini seramai 62 mutawif menerima pentauliahan masing-masing iaitu sebahagian daripada 899 peserta yang telah menjalani proses pentauliahan itu sejak 2006.
Penyampaian sijil tauliah dan perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor Yosree Ikhsan dan turut dihadiri Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur Corporation Berhad Bukhari Abd Rahman serta Pengarah Akademi Mutawwif Sdn Bhd Ismail Mat Ali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial