KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar Malaysia, Nur Ain Nabila Mohd Damin,19, yang meninggal dunia di Jordan selepas pulang dari menunaikan ibadah umrah.
Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata pemergian Nur Ain Nabila pada 11 Feb lepas benar-benar menyentuh hatinya.
“Jenazah Allahyarhamah telah selamat dikebumikan sewaktu ibunya, Ustazah Nurhafizah Ibrahim tiba di Jordan. Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anak tersayang, namun saya yakin ketabahan dan keimanan mereka sekeluarga akan menjadi kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
“Mewakili saya, Setiausaha Politik Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang dalam kerangka lawatan ke Jordan telah menziarahi keluarga Allahyarhamah bagi menyampaikan keprihatinan serta memberikan sokongan moral kepada mereka dalam menghadapi saat sukar ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar keluarga Nur Ain Nabila diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ketentuan ini.
"Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," katanya.
Nur Ain Nabila yang merupakan mahasiswa jurusan Fiqh Wa Usuluh di Universiti Mu’tah, Jordan menghembuskan nafas terakhirnya dipercayai akibat serangan jantung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial