AM

Hubungan Setengah Abad Malaysia-Bahrain Memasuki Dimensi Baharu Dengan Lawatan Anwar

22/02/2025 10:58 AM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

MANAMA (Bahrain), 22 Feb (Bernama) -- Hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Bahrain yang terjalin selama setengah abad, kini memasuki dimensi baharu dengan meninjau kerjasama dalam pelbagai bidang, daripada teknologi kewangan (fintech) kepada pelancongan dalam memperkukuh hubungan sedia ada.

Ia susulan lawatan bersejarah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara Asia Barat itu atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa.

Antara lain, kedua-dua negara yang merupakan pemain utama dalam industri fintech Islam bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha memajukan fintech Islam global dan mempertingkatkan kolaborasi dalam pendidikan.

Menurut Laporan Fintech Islamik Global 2023/24, Malaysia mengekalkan kedudukan teratas manakala Bahrain di tangga keenam dalam Indeks Fintech Islamik Global (GIFT), iaitu indeks global yang merangkumi 64 negara bagi mengukur kesesuaian persekitaran sesebuah negara dalam memacu pertumbuhan fintech Islam.

"Saya percaya perkara ini (fintech Islam dan pendidikan) dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat," kata Anwar sambil menambah bidang utama dan beberapa perjanjian kerjasama baharu dijangka dimuktamadkan sebelum Mei ini.

Bahrain, yang dahulu dikenali sebagai negara pengeluar mutiara, kini menjadi hab kewangan paling mapan di negara Teluk serta memiliki sektor perkhidmatan kewangan yang kukuh dan progresif dengan lebih 400 institusi kewangan tempatan, serantau dan global beroperasi di negara berkenaan.

Sepanjang lawatan rasmi dua hari itu, Perdana Menteri berkata kedua-dua negara juga bersetuju meneroka bidang kerjasama baharu termasuk sektor semikonduktor dan fintech yang sedang berkembang, seperti mata wang kripto dan platform sandbox.

Anwar juga menjadi satu-satunya Ketua Kerajaan yang diberikan penghormatan menyampaikan ucapan pada sesi utama Persidangan Dialog Intra-Islam (IIDC) di sini, yang disifatkan beliau sebagai pengiktirafan kepada peranan penting Malaysia di pentas Islam global.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Bahrain Shazryll Zahiran menyifatkan lawatan Perdana Menteri itu sebagai bersejarah dan membawa kejayaan besar.

"Ia sangat bermakna kerana kita menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik sambil memperkukuh lagi ikatan yang terjalin.

"Hal ini terutamanya dengan kehadiran dua pemimpin tertinggi, iaitu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Hamad Isa Al Khalifa di sini yang dapat memperkukuh hubungan diplomatik serta memacu pembangunan ekonomi pada masa akan datang," katanya kepada Bernama.

Shazryll menjangkakan kedua-dua negara akan memperoleh potensi besar dalam memperluas kerjasama ekonomi termasuk dalam sektor pelancongan selain fintech dan pendidikan.

"Malaysia dan Bahrain pasti akan meneroka kaedah untuk terus mempertingkatkan sektor berkaitan dan mencari jalan dalam menawarkan persekitaran dan ketersambungan yang lebih kondusif antara kedua-dua negara kerana ia bukan sekadar memberi perkhidmatan, tetapi juga menjangkau pasaran lebih luas.

"Malaysia mempunyai jaringan yang baik di ASEAN dan Asia manakala Bahrain memiliki kedudukan strategik yang menghubungkan rantau Teluk dan benua Afrika serta pasaran Eropah. Kedua-dua negara dapat meneroka mekanisme sedia ada untuk membangunkan model pelancongan yang lebih berjaya dan menguntungkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut mengumumkan rancangan untuk menyambung semula penerbangan terus Malaysia–Bahrain.

Beliau berkata Bahrain yang mempunyai kira-kira 1.6 juta penduduk, menawarkan ekosistem mesra perniagaan yang boleh menarik syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana yang bernilai RM24 bilion, untuk membuka pangkalan di negara itu sebagai platform mengembangkan pasaran mereka ke luar negara.

"Negara ini (Bahrain) mempunyai struktur pelepasan cukai yang menarik, mereka tiada cukai korporat, tiada cukai individu … seluruh negara menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi. Mereka juga memiliki sistem perbankan yang amat baik dan sedang berusaha meningkatkan teknologi dalam perbankan, jadi fasiliti yang disediakan amat kondusif bagi sektor perbankan," kata Anwar.

 Pada 2024, nilai dagangan Malaysia–Bahrain mencecah RM1.19 bilion dengan eksport berjumlah RM251.2 juta dan RM943.3 juta bagi import.

Tahun lepas, Bahrain ialah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di Asia Barat manakala Malaysia menduduki tempat ketiga sebagai rakan dagang terbesar Bahrain dalam kalangan negara ASEAN dan ke-18 pada peringkat global pada 2023.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pejabat Komunikasi Global, Pusat Komunikasi Nasional Bahrain Islam Abduljabbar berkata lawatan Anwar menandakan pencapaian penting dalam hubungan erat Malaysia-Bahrain dan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama dua hala.

Beliau berkata perbincangan yang diadakan semasa lawatan itu telah mengukuhkan aspirasi bersama kedua-dua negara untuk memperdalam perkongsian merentasi sektor penting termasuk perdagangan, pelaburan dan pertukaran budaya.

"Sebagai pintu masuk ke Teluk, Bahrain berada dalam kedudukan unik untuk membantu Malaysia menembusi pasaran dinamik di rantau ini. Kami sangat menghargai peranan Malaysia sebagai rakan utama di Asia Tenggara dan mengiktiraf kepimpinan Perdana Menteri dalam memacu dialog serantau dan antarabangsa.

"Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh ikatan antara dua negara, tetapi juga membina asa kukuh untuk kerjasama masa depan yang berteraskan inovasi dan visi bersama bagi kemakmuran. Kami berharap dapat merealisasikan perbincangan ini kepada hasil nyata yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada keamanan dan kemajuan dunia," katanya.

Bahrain, yang bermaksud "dua lautan" merupakan negara Teluk pertama yang menemukan minyak pada 1932 sekali gus mengubah landskap sosioekonomi negara itu. Selain minyak, Bahrain juga mempunyai kilang memproses aluminium keempat terbesar di dunia yang menjadi eksport utama ke Malaysia.

Ketika ini, terdapat 297 rakyat Malaysia termasuk tiga pelajar sedang melanjutkan pengajian tinggi di negara itu. Bahrain juga merupakan negara Timur Tengah pertama menjadi tuan rumah Grand Prix Formula 1 pada 2024 selain mempunyai antara mata wang dengan nilai tertinggi di dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan