KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dimasukkan ke hospital selepas pengsan di kediamannya awal pagi tadi.
Setiausaha Akhbar beliau Azran Fitri Abdul Rahim mengesahkan perkara itu dan memaklumkan Ismail Sabri kini dalam keadaan stabil.
“Saya dimaklumkan Datuk Seri (Ismail Sabri) pengsan di rumahnya dan dibawa ke hospital kira-kira 2.30 pagi untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau turut memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Azran Fitri berkata Ismail Sabri telah sedar sepenuhnya petang ini namun masih memerlukan pemerhatian rapi daripada doktor dan tidak dibenarkan menerima pelawat buat sementara waktu sehingga kesihatannya kembali pulih.
“Hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan untuk menziarahi beliau,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan bekas perdana menteri itu.
Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam hantaran di Facebook turut mendoakan kesembuhan dan kesihatan yang baik kepada Ismail Sabri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial