AM

Banyak Idea Baharu Demi Manfaat Rakyat Lahir Dari Sesi Permukiman Jemaah Menteri

23/02/2025 12:18 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Sesi Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI mencambahkan banyak idea baharu untuk mencetuskan anjakan yang bermakna demi manfaat rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata setiap pandangan yang dikongsi pada sesi itu, adalah cerminan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam mencorak masa depan lebih cerah.

“Alhamdulillah, sesi Permukiman Jemaah Menteri telah berakhir pada malam tadi setelah seharian penuh dengan perbincangan mendalam, pembentangan penuh pengisian serta penilaian teliti terhadap polisi dan dasar - semuanya demi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi itu juga akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Mudah-mudahan kebersamaan yang terjalin hari ini menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih bermakna buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata permukiman selama dua hari itu merupakan permulaan tahun baharu dengan semangat kebersamaan dan kesatuan yang tinggi untuk jemaah menteri menakhodai setiap kementerian.

“Kita perlu sentiasa menilai dan melihat keberkesanan penyampaian kementerian dan platform permukiman ini menjadi medan untuk kita mengenal pasti apa yang perlu dan boleh ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri dalam ucapan majlis penutup permukiman itu menegaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan dan kritikan daripada mana-mana pihak bagi melakukan lebih baik untuk rakyat dan negara.

“Ini sekali gus memberi ruang untuk setiap kementerian dan agensi memperbaiki kelompongan yang ada dalam kerajaan dan sudah pasti akan membantu Kerajaan MADANI berfungsi dengan lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan