AM

KKM Sasar Turunkan Prevalens Bantut Kepada 14.2 Peratus Menjelang 2030

23/02/2025 07:23 PM

LANGKAWI, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) meletakkan sasaran untuk menurunkan prevalens pertumbuhan terbantut bagi kanak-kanak berusia bawah lima tahun kepada 14.2 peratus menjelang 2030.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan 21.2 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami pertumbuhan terbantut pada 2022.

“Ia adalah peningkatan ketara berbanding 16.6 peratus pada tahun 2011, dan kita mengalami terus peningkatan fenomena tumbesaran yang terganggu ini, yang menyebabkan bantut.

“Oleh itu, yang kita tekankan sasaran prevalens bantut untuk kanak-kanak bawah lima tahun menjelang 2030, KPI (petunjuk prestasi utama) kita, peratusan bantut dikurangkan kepada 14.2 peratus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis pelancaran Kajian The First 1,000 Days Of Life: Langkawi Longitudinal Study (LLS) dan Pendigitalan Menggunakan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) di Langkawi.

Dr Dzulkefly berkata fenomena bantut bukan sahaja membawa kesan kepada tumbesaran kanak-kanak secara fizikal, tetapi juga risiko untuk terdedah kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk diabetes dan obesiti.

Selain itu, beliau berkata bantut juga boleh memberi kesan kepada ketumbesaran kognitif iaitu keupayaan kecerdasan dan kepintaran kanak-kanak.

“Kita telah mengambil tindakan mengenai perkara ini di bawah Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023-2030, merentasi pelbagai kementerian,” katanya.

Beliau berkata kajian LLS yang akan dilaksanakan di Langkawi itu pula antara inisiatif KKM memahami segala korelasi dan perkaitan yang menyebabkan bantut dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

“Hasil kajian ini akan membantu kerajaan membuat intervensi terbaik. Jadi bukan sahaja kajian, tetapi bagaimana untuk menggunakannya bagi mengatasi isu-isu yang terkait dengan bantut,” katanya.

Beliau berkata kajian LLS yang akan bermula pada Mac ini bakal mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dalam 1,000 hari pertama kehidupan, iaitu dari awal kehamilan sehingga usia dua tahun.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata 13 fasiliti kesihatan di Pulau Langkawi telah dilengkapi dengan sistem CCMS, merangkumi enam Klinik Kesihatan dan tujuh Klinik Desa yang bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan di pulau peranginan berkenaan.

“Pelaksanaan CCMS di Pulau Langkawi adalah langkah awal ke arah transformasi menyeluruh sektor kesihatan negara melalui pendigitalan. Untuk jangka panjang, 100 Klinik Kesihatan di seluruh negara akan dilengkapi dengan sistem ini menjelang penghujung 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan