AM

69 Syarikat Subsidiari Lima Agensi Persekutuan Catat Keuntungan RM3.698 Pada 2023 - LKAN

24/02/2025 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 69 syarikat subsidiari bagi lima Agensi Persekutuan mencatatkan keuntungan berjumlah RM3.698 bilion pada tahun 2023, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan tersebut menyebut  syarikat subsidiari berkenaan adalah di bawah Lembaga Tabung Haji (LTH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menurut laporan itu, sebanyak 34 syarikat subsidiari KWSP mencatat keuntungan berjumlah RM2.754 bilion diikuti 11 syarikat subsidiari LTH (RM240 juta), sembilan syarikat subsidiari FELDA (RM411 juta), sembilan syarikat subsidiari KWAP (RM130 juta) dan enam syarikat subsidiari LTAT (RM163 juta).

Sebanyak 40 syarikat subsidiari bagi lima Agensi Persekutuan sama mencatatatkan kerugian berjumlah RM2.656 bilion pada 2023.

Sebanyak 21 syarikat subsidiari KWSP mencatat kerugian RM941 juta, lapan syarikat subsidiari KWAP (RM138 juta), lima syarikat subsidiari LTAT (RM722 juta), empat syarikat subsidiari LTH (RM690 juta) dan dua syarikat subsidiari FELDA (RM165 juta).

Laporan itu juga menyatakan sebanyak 21 syarikat subsidiari bagi lima Agensi Persekutuan berkenaan mengalami kerugian bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2021 hingga 2023.

“Pada tahun 2023, sebanyak 21 syarikat subsidiari mengalami kerugian berjumlah RM970.55 juta yang terdiri daripada sembilan syarikat subsidiari yang beroperasi di dalam negara, manakala 12 syarikat subsidiari beroperasi di luar negara,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, syarikat subsidiari yang mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut sejak 2021 hingga 2023 membabitkan sembilan syarikat KWSP,  KWAP (7), LTAT (2), LTH (2) dan FELDA (1).

Menurut laporan itu, pada 2023, sebanyak 59 Agensi Persekutuan mempunyai 217 syarikat subsidiari dengan 131 daripadanya iaitu 60.4 peratus mencatat keuntungan berjumlah RM4.087 bilion, manakala 86 lagi atau 39.6 peratus mengalami kerugian berjumlah RM2.810 bilion.

Sementara itu, laporan berkenaan turut memaklumkan sebanyak 81 daripada 217 syarikat subsidiari telah membayar dividen berjumlah RM2.829 bilion kepada 32 Agensi Persekutuan pada 2023.

“Analisis Audit mendapati 43 syarikat subsidiari telah membayar dividen tertinggi kepada lima Agensi Persekutuan berjumlah RM2.761 bilion dengan KWSP selaku penerima dividen tertinggi iaitu RM1,819.32 juta, LTAT (RM383.23 juta), FELDA (RM346.54 juta), KWAP (RM172.35 juta) dan LTH (RM39.54 juta).

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan