AM

Tiada Beg Plastik Di P. Pinang Bermula Hari Ini

01/03/2025 04:52 PM

BUTTERWORTH, 1 Mac (Bernama) -- Pengguna di Pulau Pinang menyambut baik pelaksanaan kempen tiada beg plastik setiap hari, yang bermula hari ini di semua pasar raya besar, gedung dan kedai serbaneka, restoran makanan segera, stesen minyak, rangkaian kedai, farmasi dan premis perniagaan di negeri berkenaan.

Seorang pekerja kilang di Perai, Muhammad Muslim Ahmad Faizal, 34, berkata dia dan isteri memang sudah biasa membawa beg kitar semula kerana sebelum ini Pulau Pinang telah memperkenalkan kempen itu pada hari-hari tertentu.

Muhammad Muslim bagaimanapun berkata ada segelintir pelanggan yang dilihat masih tidak tahu mengenai perkara itu, terutama dalam kalangan pelancong atau pengunjung dari luar negeri berkenaan.

“Sebelum ini, hari Isnin sampai Rabu memang tidak ada beg plastik. Jadi, kami penduduk di negeri ini memang sudah tahu dan terbiasa bawa beg kitar semula untuk isi barang di pasar raya dan ia sebenarnya bagus untuk melindungi alam sekitar,” katanya.

Pekerja kedai serbaneka Nur Afizah Mazlan, 31, pula berkata ada dalam kalangan pelanggan yang mahu mendapatkan beg plastik dan sanggup membayar, namun dia menjelaskan mulai hari ini beg plastik tidak lagi disediakan.

“Mungkin mereka tidak tahu mengenai kempen yang mula dijalankan hari ini dan kami sebagai pekerja memaklumkan kepada mereka, namun kedai serbaneka turut menjual beg kitar semula supaya memudahkan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Penang Green Council (PGC) Josephine Tan Mei Ling berkata berdasarkan tinjauan, pihaknya mendapati terdapat pengguna yang keliru dengan kempen itu kerana menyangka beg plastik masih boleh dibeli.

Beliau berkata ekoran itu, bagi tempoh enam bulan pertama bermula hari ini pihaknya meningkatkan kempen tiada beg plastik berkenaan termasuk mengedarkan risalah-risalah mengenai kempen itu menerusi kaunter Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.

“Kita faham ada yang keliru mengenai kempen itu. Jadi, kami tingkatkan kempen itu dalam tempoh enam bulan ini supaya semua orang tahu mengenainya. Pada masa sama, PGC juga akan mengedarkan beg kitar semula kepada orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo dilaporkan berkata kempen pengagihan beg guna semula secara percuma di seluruh negeri bagi menggalakkan penggunaannya, sekali gus membantu penduduk beralih kepada amalan lebih lestari dalam usaha melindungi alam sekitar dan mencapai masa depan yang mampan.

Beliau berkata pihaknya akan memberikan tempoh enam bulan bagi peringkat penguatkuasaan secara berhemah iaitu bermula dari 1 Mac hingga 31 Ogos tahun ini untuk membolehkan perniagaan dan orang awam membiasakan diri dengan peraturan baharu itu, manakala penguatkuasaan penuh bermula 1 Sept.

Sementara itu, tinjauan Bernama juga mendapati kebanyakan pengguna memang tahu dan membawa sendiri beg kitar semula atau apa-apa beg untuk digunakan bagi mengisi barangan mereka.

Premis perniagaan yang terlibat juga memang tidak menyediakan beg plastik, sebaliknya menjual beg kitar semula bagi memudahkan pelanggan.

Program ‘tiada beg plastik percuma' diperkenalkan kerajaan negeri pada 2009, sekali gus menyaksikan Pulau Pinang negeri pertama mengarahkan peniaga tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma.

Sebelum ini, Pulau Pinang memperkenalkan kempen tiada beg plastik pada Isnin hingga Rabu, manakala Khamis hingga Jumaat setiap beg plastik dikenakan caj RM1, sekali gus membolehkan kerajaan negeri mengutip RM8 juta hasil program itu sejak 2009.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan