AM

Kes Ismail Sabri: UMNO Tiada Kaitan Dengan Siasatan SPRM

06/03/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, susulan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di beberapa premis minggu lepas. 

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti itu dengan kes berkenaan dan menekankan bahawa siasatan harus dijalankan secara telus, bebas dan adil tanpa sebarang gangguan.  

“UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut dan berpendirian bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas dan adil tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata UMNO tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja cuba mengaitkan parti berkenaan dengan kes itu atau mencipta persepsi negatif terhadap UMNO.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram selepas penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safehouse susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui pentadbiran negara.

Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan