AM

10 Rang Undang-Undang Termasuk Perkhidmatan Parlimen Diluluskan Sidang Dewan Rakyat Kali Ini

06/03/2025 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang berakhir hari ini telah meluluskan 10 rang undang-undang termasuk kelulusan bersejarah Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam ucapan penutup di Dewan Rakyat hari ini berkata penggubalan RUU baharu itu, dapat memastikan pemisahan kuasa yang jelas antara badan eksekutif dan legislatif serta memberikan autonomi kepada Parlimen untuk menentukan hala tuju legislatif secara tersendiri.

Beliau berkata mesyuarat kali ini juga meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan beberapa usul termasuk usul bagi membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025, selain tiga sesi penerangan menteri diadakan di Dewan Rakyat.

Johari turut menyentuh mengenai peranan Parlimen Malaysia selaku Pengerusi Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang akan terlibat secara langsung dengan lima program AIPA.

Ia meliputi Perhimpunan Antara Parlimen Wanita Asean (WAIPA), Mesyuarat Ahli Parlimen Muda Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Mesyuarat Antara Muka Pemimpin ASEAN-AIPA, Mesyuarat Majlis Penasihat AIPA mengenai Dadah Berbahaya ke-7 dan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46.

“Saya berharap semua Ahli Parlimen menggunakan peluang yang ada untuk memperoleh pengalaman baharu, berkongsi pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik serta mencari penyelesaian bersama-sama rakan serantau dalam menangani cabaran serantau dan global,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung sejak 3 Feb lepas ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan