KUANTAN, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sebagai antara alternatif dalam usaha memadamkan kebakaran ladang kelapa di Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular di sini yang berlarutan sejak 22 Feb lepas.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bagaimanapun usaha itu bergantung kepada keperluan dan cuaca selain perlu berbincang terlebih dahulu dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya pelaksanaan tidak boleh dilakukan secara tiba-tiba kerana ia memerlukan penelitian sama ada awan itu sesuai untuk proses pembenihan.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mendengar taklimat dan melakukan tinjauan di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Nordin Pauzi dan Pengarah JBPM Pahang Mohd Razam Taja Rahim.
Nik Nazmi berkata sejak 22 Feb lepas, kebakaran tanah gambut itu telah memusnahkan sekitar 130 hektar ladang kelapa dan setakat ini seluas 98 hektar berjaya dipadamkan.
Beliau berkata kerajaan sememangnya memandang serius kebakaran di tanah gambut dan kerana itu, kementeriannya telah memohon untuk tingkatkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi penyediaan kelengkapan serta infrastruktur pencegahan kebakaran di lokasi tanah gambut.
Ditanya Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, beliau berkata perbincangan tertumpu kepada persediaan menghadapi musim panas merangkumi data terkini mengenai status kualiti udara, mengenal pasti kawasan panas serta penyelarasan dengan pelbagai agensi dan kementerian.
“Kita sudah pun dalam fasa akhir Monsun Timur Laut dan kita juga melihat taburan hujan berkurangan. Beberapa hari lepas saya dimaklumkan kita ada berdepan dengan beberapa insiden kebakaran tanah gambut tetapi ini (ladang kelapa) yang terbesar tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial