KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) sekali lagi diiktiraf sebagai antara hospital terkemuka dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2025 yang terkini.
SMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hospital swasta itu diberi penghormatan berada dalam senarai 250 hospital terbaik di peringkat global, dengan lonjakan kedudukan iaitu tangga ke-193 tahun ini, berbanding tangga ke-233 tahun lepas.
Menurut kenyataan itu, SMC turut menduduki tempat teratas dalam kalangan hospital di Malaysia bagi kedudukan 2025.
"Kedudukan terkini berdasarkan tinjauan komprehensif yang mengumpulkan pandangan daripada pakar perubatan, termasuk doktor, profesional penjagaan kesihatan dan badan pengurusan hospital, selain data daripada tinjauan pesakit, metrik kualiti hospital serta Tinjauan Pelaksanaan Langkah Keberhasilan yang Dilaporkan Pesakit (PROMs) oleh Statista.
"Daripada 30 negara dan lebih 2,400 hospital yang disenarai pendek, merangkumi hospital awam, hospital pengajar universiti serta pusat perubatan swasta, hanya 250 hospital terbaik tersenarai di peringkat global," menurut kenyataan itu.
SMC menyifatkan pengiktirafan terkini ini sebagai satu lagi kejayaan selepas tersenarai dalam ranking Hospital Swasta Terbaik Asia Newsweek 2025 baru-baru ini, dengan menduduki tempat kedua di Asia dalam kategori pembedahan katarak dan ketiga di Asia bagi pembedahan refraktif mata.
"Selain itu, SMC turut disenaraikan dalam kelompok 10 terbaik di Asia bagi beberapa kategori lain, termasuk pembedahan pinggul dan penggantian pinggul (keenam), pembedahan lutut dan penggantian lutut (keenam) serta pembedahan bahu (ke-10)," menurut kenyataan itu.
Lebih membanggakan, SMC juga diiktiraf sebagai antara Hospital Pakar Terbaik Asia Pasifik Newsweek bagi dua tahun berturut-turut, masing-masing pada 2023 dan 2024.
"Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC komited untuk terus memacu inovasi perubatan dan penjagaan pesakit dengan menawarkan 28 Pusat Kecemerlangan dilengkapi 810 katil berlesen dan lebih daripada 60 kepakaran, selain disokong pasukan pelbagai disiplin yang menyediakan rawatan khusus dalam rangka kerja penjagaan holistik," menurut kenyataan itu.
SMC juga berbangga menjadi hospital pertama di Malaysia yang menerima tiga akreditasi utama hospital, iaitu Akreditasi Gold Seal of Approval daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia.
Menurut SMC, penyenaraian tersebut menandakan tahun ketujuh Newsweek bekerjasama dengan Statista, Inc., sebuah firma penyelidikan pasaran dan data pengguna global yang terkemuka, bagi menilai dan menentukan ranking hospital terbaik di dunia.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Perubatan Sunway Datuk Lau Beng Long berkata pencapaian tersebut membuktikan tekad SMC dalam memberikan penjagaan klinikal terbaik serta meningkatkan status penjagaan kesihatan negara.
"Kejayaan kami tersenarai dalam kalangan 250 hospital terbaik di peringkat global, bersama hospital ternama seperti Mayo Clinic, The John Hopkins Hospital, Singapore General Hospital dan The University of Tokyo Hospital, selama dua tahun berturut-turut, adalah bukti dedikasi warga kerja yang tidak berbelah bahagi terutamanya tenaga pakar perubatan, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu di SMC," katanya.
Lau turut melakar sejarah sebagai kepimpinan penjagaan kesihatan pertama di Malaysia yang tercalon dalam senarai Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Terbaik Newsweek 2024, sebaris dengan pemimpin utama pusat perubatan berprestij dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial