AM

AEON Bank Dorong Keikhlasan Memberi, Belanja Berhemah Dan Keterangkuman Kewangan

10/03/2025 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- AEON Bank (M) Berhad menyemarakkan semangat Ramadan dengan mempromosikan keikhlasan memberi, belanja berhemah dan keterangkuman kewangan melalui pelbagai inisiatif di bawah tema ‘Niat di Hati, Semua Jadi’.

Inisiatif itu merangkumi program pendidikan kewangan, jangkauan komuniti dan ganjaran perbankan digital, yang bertujuan memperkasakan rakyat Malaysia dalam membuat keputusan kewangan yang bijak sambil memupuk budaya memberi sepanjang Ramadan dan Syawal.

Pada 3 Mac lepas, AEON Bank menganjurkan dialog Shariah Live! buat julung kalinya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berjaya menarik penyertaan 800 pelajar dan pegawai universiti, dihoskan oleh Aniq Muhai dan menampilkan tokoh-tokoh kewangan Islam terkemuka, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Syariah serta Ahli Lembaga Pengarah AEON Bank Ustaz Wan Rumaizi Wan Husin dan Ketua Pegawai Syariah AEON Bank Ustaz Ibrahim Mohd Hasan.

“Perbincangan panel tertumpu kepada asas perbankan digital patuh Syariah dan potensinya untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

“AEON Bank berhasrat untuk mendekati golongan belia, mempersiapkan mereka sebagai pemimpin masa depan dalam kewangan Islam, serta meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang dasar asas dan prinsip utama kewangan patuh Syariah sejajar dengan prinsip Islam,” menurut bank itu dalam kenyataan hari ini.

Dalam meneruskan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial, AEON Bank telah melancarkan inisiatif Salam Prihatin dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Penyayang Lembah Pantai (PERKEMP) dan AEON Co.

Lebih 400 keluarga daripada komuniti B40 di Perumahan Pantai Permai, Kuala Lumpur menerima sumbangan untuk membeli barangan runcit berjumlah RM300 di AEON Mall Taman Maluri esok. Inisiatif ini bertujuan memberi daya autonomi dalam memilih barangan runcit mengikut keperluan keluarga masing-masing, sekali gus memupuk rasa berdikari dan perbelanjaan yang bijak sepanjang Ramadan.

Kakitangan AEON Bank turut menjadi sukarelawan untuk memastikan setiap keluarga dapat memaksimumkan sumbangan itu apabila membuat pembelian, sekali gus menyumbang ke arah niat untuk mencetuskan kesedaran kewangan.

“Dari 1 Mac hingga 6 April, AEON Bank menawarkan kempen khas Salam Ramadan bagi menggalakkan pelanggan memaksimumkan penjimatan dan menikmati ganjaran tambahan. Dengan menggunakan Kad Debit-i AEON Bank di rangkaian peruncit AEON yang mengambil bahagian, pelanggan boleh mendapat 10X Mata Ganjaran AEON, yang boleh ditebus kepada wang tunai menerusi aplikasi AEON Bank. Selain itu, para pelanggan juga digalakkan untuk memulakan beberapa Savings Pots masing-masing melalui aplikasi AEON Bank untuk memikmati keuntungan 3.00 peratus setahun, satu kadar yang kompetitif.

“AEON Bank juga mendekatkan perbankan digital patuh Syariah dengan komuniti menerusi pelancaran Neko Cruiser, hab interaktif O2O (Online-to-Offline) bergerak. Neko Cruiser akan mengunjungi beberapa bazar Ramadan untuk berinteraksi dengan orang ramai, memberikan bantuan dalam peralihan kepada transaksi tanpa tunai serta mengoptimumkan penggunaan pembayaran digital,” menurut kenyataan itu.

Neko Cruiser akan mengunjungi bazar Ramadan terpilih untuk berinteraksi dengan pelanggan dan menawarkan sokongan perbankan digital. Ia akan berada di Bazar Ramadan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru dari 13 hingga 15 Mac, diikuti Bazar Ramadan Pandan Indah, Kuala Lumpur dari 20 hingga 22 Mac dan menamatkan jelajah di Bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan dari 25 hingga 27 Mac.

Pengunjung juga boleh menerima barangan AEON Bank dengan memuat turun aplikasi AEON Bank, membuka Akaun Simpanan-i dan mengambil bahagian dalam aktiviti O2O.

Selain itu, AEON Bank turut menawarkan Personal Financing-i (PF-i), penyelesaian pembiayaan peribadi patuh Syariah tanpa cagaran kepada rakyat Malaysia yang mencari sokongan kewangan semasa Ramadan dan Syawal. Jumlah pembiayaan antara RM1,000 hingga RM10,000, dengan 500 pelanggan pertama yang berkelayakan akan menerima Mata Ganjaran AEON bernilai sehingga RM50 selepas pembiayaan PF-i berjaya disalurkan.

Sebagai sebahagian daripada Kumpulan AEON, yang telah berada di pasaran Malaysia selama lebih 40 tahun, AEON Bank kekal komited dalam membina masa depan kewangan yang lebih inklusif, membantu rakyat Malaysia mencapai kebebasan ekonomi, memacu industri perbankan Islam berteraskan teknologi kewangan (fintech) di rantau ini serta memperkembangkan pertumbuhan ekonomi digital negara.

Untuk maklumat lanjut tentang kempen Ramadan dan Syawal, serta muat turun aplikasi AEON Bank, pelanggan boleh melayari laman web rasmi bank serta mengikuti kempen di platform media sosial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan