KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) – Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini tidak bercadang untuk memperluas pelaksanaan pelanjutan waktu operasi atau extended hours (EH) di klinik kesihatan (KK), kata Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata berdasarkan pelaksanaan EH di beberapa klinik terpilih ketika ini, didapati langkah itu tidak banyak menyelesaikan masalah kesesakan terutama di zon hijau.
“Ini kerana kita dapati lambakan pesakit dan kehadiran semakin bertambah walaupun kita perkenalkan EH. Kita dapati EH dijadikan sebagai peluang lebih besar kepada klien KKM, apabila pada mereka ini adalah peluang untuk mendapatkan perkhidmatan sistem kesihatan awam.
“Justeru, kita masih mengkaji apakah kaedah sesuai untuk mengurangkan kesesakan di zon hijau, selain terdapat fasiliti kita telah memperkenalkan short stay (jangka pendek) unit di zon kecemasan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam yang ingin mengetahui impak pelaksanaan pelanjutan waktu operasi di KK terhadap kesesakan di Jabatan Kecemasan.
Lukanisman berkata pelaksanaan EH sejak 2008 bertujuan membantu menyuraikan kesesakan di zon hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital KKM dengan setakat ini, terdapat 49 KK melaksanakan EH.
“Umumnya EH dilaksanakan pada setiap hari bekerja dari 5 petang hingga 9.30 malam dan Sabtu pada 9 pagi hingga 1 petang.
“Pada 2023, enam daripada 49 KK yang melaksanakan EH telah dipilih dalam projek rintis Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi atau Special Task Force on Agency Reform (STAR) iaitu KK Bandar Botanik di Klang; KK Ampang; KK Taman Ehsan; KK Kuala Lumpur; KK Greentown di Perak dan KK Mahmoodiah di Johor,’ katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial