AM

Kerajaan Komited Pastikan Veteran ATM Punya Kerjaya Kedua

10/03/2025 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan komited memastikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai kerjaya kedua yang berkualiti demi menjamin masa depan serta kehidupan lebih baik.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata usaha ke arah itu, antaranya akan digerakkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Program Veteran MyWIRA. 

“Cabaran kepada veteran ini cukup besar, pada usia 40 tahun mereka hilang pekerjaan, kalau berpencen pun mereka hilang separuh daripada pendapatan mereka sedangkan dari segi sosial, mereka mempunyai tanggungan kepada anak-anak dan keluarga selain tanggungan perumahan dan aspek kesihatan.

“Jadi tanggungan itu agak besar, kalau kita lihat dalam usia 40 tahun biasanya anak-anak mereka baru di peringkat sekolah menengah ataupun di peringkat pengajian tinggi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus dan Bengkel Strategik Veteran MyWIRA di sini hari ini.

Program yang juga dihadiri Timbalan Menteri KESUMA Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad itu turut menyaksikan Sumbangan Ihya’ MyMAHIR sebanyak RM30,000 disampaikan kepada Persatuan Veteran sebagai penghargaan atas peranan penting mereka dalam menyokong peralihan kerjaya anggota ATM sebelum bersara.

Kedua-dua Timbalan Menteri turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi memperkukuh sokongan kepada veteran yang memasuki sektor swasta. 

MoU itu ditandatangani Ketua Eksekutif Kumpulan TalentCorp Thomas Mathew dan Ketua Pengarah JHEV Mejar Jen Datuk Semaon Marjuki.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata sejak penubuhan Program Veteran MyWIRA pada tahun lepas, seramai 49 anggota veteran berjaya mendapatkan pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,900 sebulan.

“Walaupun program kita baru setahun tetapi kita sudah melihat beberapa kejayaan yang diusulkan oleh TalentCorp dan kita tahu bahawa sebahagian daripada industri itu adalah yang berteknologi tinggi sesuai dengan kepakaran anggota pertahanan kita.

“Beberapa syarikat utama termasuk Micron Memory Malaysia, Western Digital dan Jabil telah mengambil langkah proaktif dalam menyokong usaha veteran MyWIRA dengan mengambil serta melatih veteran dalam sektor bernilai tinggi,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan