KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Sebanyak 18,181 kematian akibat pneumonia pneumokokus dilaporkan di Malaysia tahun lalu, namun masih ramai yang menganggapnya sekadar komplikasi ringan influenza.
Hakikatnya, pneumonia pneumokokus ialah jangkitan paru-paru serius yang boleh mengancam nyawa, disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae.
Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia Profesor Dr Roslina Abdul Manap berkata berdasarkan Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, pneumonia telah mengatasi penyakit jantung sebagai punca utama kematian di Malaysia buat pertama kali dalam lebih dua dekad. Namun, penyakit ini masih kurang mendapat perhatian.
Beliau berkata dengan populasi warga emas Malaysia dijangka meningkat kepada 23.4 peratus menjelang 2050 berbanding 11.6 peratus tahun lalu, perubahan demografi ini memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan awam.
"Warga emas lebih mudah terdedah kepada jangkitan pernafasan teruk, termasuk pneumonia pneumokokus. Penyakit ini amat berbahaya kerana sistem imun mereka semakin lemah seiring usia, selain gejalanya mungkin tidak begitu ketara berbanding individu lebih muda," katanya.
Dr Roslina menjelaskan, keadaan ini boleh menyebabkan kelewatan dalam diagnosis dan rawatan, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi serius, kemasukan ke hospital, dan kematian.
"Walaupun seseorang itu kelihatan sihat, mereka masih berisiko dijangkiti pneumonia pneumokokus. Ini kerana seiring peningkatan usia, sistem imun menjadi semakin lemah, menyebabkan tubuh lebih sukar melawan jangkitan.
"Apabila bakteria ini menyerang paru-paru dan aliran darah, ia boleh menyebabkan penyakit serius. Warga emas berdepan risiko lebih tinggi mengalami komplikasi teruk dan kematian akibat pneumonia pneumokokus berbanding golongan muda," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Beliau berkata individu yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, atau masalah paru-paru kronik, serta mereka yang mempunyai sistem imun lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan, turut berisiko tinggi.
"Pneumonia pneumokokus sering sukar dikesan kerana simptomnya menyerupai influenza. Namun, pesakit boleh mengalami demam tinggi, batuk berkahak berterusan, kesukaran bernafas, dan sakit dada," katanya.
Menurut Dr Roslina, dalam sesetengah kes, kekeliruan atau keletihan melampau mungkin satu-satunya tanda penyakit ini, terutamanya dalam kalangan warga emas.
"Berbeza dengan influenza yang bermusim, pneumonia pneumokokus boleh berlaku sepanjang tahun. Ia merebak melalui titisan udara daripada batuk atau bersin, menjadikan tempat awam sesak seperti lapangan terbang, hospital, dan pusat beli-belah sebagai lokasi berisiko tinggi," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pneumonia adalah masalah kesihatan utama ketika musim Haji kerana ia sering menjadi punca utama kemasukan jemaah ke hospital.
"Perhimpunan besar-besaran seperti ibadah haji mewujudkan persekitaran padat dan meningkatkan risiko jangkitan melalui udara. Oleh itu, kami menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan vaksinasi pneumonia pneumokokus bersama vaksin influenza bagi perlindungan lebih menyeluruh," katanya.
Menurut Dr Roslina, kajian menunjukkan bahawa vaksin influenza dan pneumonia pneumokokus boleh diberikan serentak dengan selamat dan berkesan.
"Pengembara yang menerima kedua-dua vaksin ini mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami jangkitan pernafasan teruk semasa atau selepas perjalanan," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan menawarkan insentif pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan vaksinasi untuk diri sendiri, pasangan, anak, ibu bapa, atau datuk dan nenek.
"Pneumonia pneumokokus boleh dicegah selagi rakyat mengambil langkah proaktif melindungi diri dan keluarga melalui vaksinasi. Satu suntikan vaksin bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital, tetapi juga memberikan ketenangan fikiran," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial