AM

Kadar Pengangguran Menurun Kepada 3.1 Peratus Pada Januari 2025 - DOSM

11/03/2025 05:59 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Bilangan penganggur pada Januari 2025 menurun kepada 533,800 orang, dengan kadar pengangguran 3.1 peratus, menurut Statistik Tenaga Buruh Januari 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Jumlah itu menandakan penurunan sebanyak 0.9 peratus daripada 538,500 orang penganggur pada Disember 2024.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh negara berada dalam trend peningkatan pada Januari 2025, mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam kedudukan ekonomi negara walaupun terdapat beberapa cabaran dalam perdagangan dan inflasi.

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Januari 2025 terus bertambah, meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 17.22 juta orang (Disember 2024:17.17 juta orang). Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.6 peratus seperti bulan sebelumnya," katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja pada Januari 2025 terus bertambah, mencatatkan peningkatan 0.3 peratus untuk mencapai 16.68 juta orang berbanding 16.63 juta orang pada Disember 2024. 

Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, beliau berkata majoriti mereka yang bekerja pada Januari 2025 berada dalam kategori pekerja, merangkumi 75.3 peratus, mencatatkan pertambahan sebanyak 0.3 peratus kepada 12.56 juta orang (Disember 2024:12.53 juta orang). 

Kategori penduduk bekerja sendiri juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus kepada 3.11 juta orang, berbanding 3.09 juta orang pada Disember tahun lepas.

Berhubung situasi pengangguran, beliau berkata 79.4 peratus daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.

"Dalam kategori ini, bilangan itu berkurang 0.5 peratus kepada 423,600 orang berbanding 425,700 orang pada Disember 2024.

"Mengikut tempoh menganggur bagi penganggur aktif, 63.6 peratus adalah mereka menganggur kurang dari tiga bulan manakala 5.6 peratus berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

"Sementara itu, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia menurun 2.3 peratus kepada 110,200 ribu orang," katanya. 

Pada Januari 2025, kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 24 tahun turun kepada 10.3 peratus, merekodkan 299,300 penganggur belia berbanding 10.4 peratus atau 301,400 orang pada Disember tahun lepas. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan