AM

MAINJ Diminta Semak Semula Senarai Penerima Zakat Fitrah - Exco Agama

13/03/2025 12:21 PM

ISKANDAR PUTERI, 13 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) diminta membuat semakan semula senarai penerima zakat fitrah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata semakan itu perlu kerana terdapat penerima zakat di negeri ini yang masih belum tersenarai sebagai penerima bantuan bulanan MAINJ.

“MAINJ kena melihat pada semakan nama saraan bulanan sebab saya mendapati sebahagian daripada penerima bantuan zakat fitrah mereka ini masih belum tergolong dalam senarai penerima bulanan MAINJ. Ini bukan salah sesiapa, ia kita anggap kemas kini semula sebab kadang-kadang mereka (orang susah) tidak pergi memohon dan mungkin tidak tahu.

“Jadi, saya telah mengarahkan MAINJ senaraikan semula fakir miskin, anak yatim (penerima zakat fitrah) yang perlu dimohonkan dengan permohonan saraan bulanan sebab mereka wajib menerimanya bagi menjalani kehidupan seharian dan manfaat zakat itu perlu dikembalikan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Aplikasi E-Fidyah di sini semalam, yang turut dihadiri Penasihat MAINJ Datuk Dr Nooh Gadut dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Hasrin Kamal Hashim.

Mengenai jangkaan penambahan penerima bantuan bulanan, beliau menganggarkan jumlahnya mungkin lebih daripada 1,000 penerima.

“..saya jangka mungkin lebih, semakan akan dibuat dengan teliti sebab kita juga akan memastikan kalau  ada antara mereka telah menerima bantuan MAINJ tetapi tidak mencukupi dan mereka ini kita akan kemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penaiktarafan aplikasi e-Fidyah dan penambahan saluran bayaran baharu kepada pengguna Apple menerusi aplikasi iOS diharap dapat memberi kemudahan kepada umat Islam di negeri ini membuat bayaran fidyah tanpa berdepan kesulitan untuk ke kaunter MAINJ secara fizikal.

Mohd Fared berkata melalui aplikasi terkini d-Fidyah itu diharapkan lebih ramai rakyat Johor membuat pembayaran fidyah sekali gus dapat membantu golongan memerlukan.

“Kemudahan aplikasi e-fidyah telah disediakan oleh MAINJ sejak 2016 namun aplikasi itu terhad untuk pengguna android sahaja dan hari ini ia telah dinaik taraf di samping penambahan saluran kepada pengguna iOS.

“Ini membolehkan pengguna telefon bimbit membuat pembayaran terutamanya mereka yang tidak dapat berpuasa dengan hujah yang dibenarkan, maka mereka wajib membayar fidyah,” katanya.

Tahun lepas, MAINJ mencatatkan kutipan fidyah RM10.8 juta melibatkan 24,964 pembayar dengan RM6.9 juta telah diagihkan kepada yang layak menerima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan