AM

KESUMA Berusaha Pastikan RUU Wajibkan Pekerja Gig Mencarum Dilulus Segera - Sim

13/03/2025 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan berusaha memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dilulus dan dilaksanakan secepat mungkin bagi mewajibkan pekerja gig mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata hal ini kerana di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ketika, caruman pekerja gig dibuat secara sukarela menyebabkan hanya 26 peratus daripada 1.16 juta pekerja gig di Malaysia mencarum.

 “Apabila ada RUU Pekerja Gig ini, sudah tentu akan meningkatkan lagi jumlah orang yang boleh dilindungi sebab selepas ia dilaksanakan, pekerja gig ini wajib mencarum dan syarikat-syarikat pengendali wajib bekerjasama dengan PERKESO untuk menguruskan caruman secara automatik.

“Jadi kita akan terus mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat pengendali dan juga wakil pekerja gig supaya kita boleh capai hasrat membentang dan meluluskan terus RUU Pekerja Gig pada sidang Parlimen yang akan datang Jun nanti,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia Tan Ming Luk di Menara PERKESO di sini.

Sim berkata tahun lepas, di bawah SKSPS, hampir sejuta pencarum telah menerima manfaat daripada caruman mereka dan daripada jumlah itu, kira-kira 12 hingga 13 peratus merupakan pekerja dalam sektor pengangkutan barangan dan makanan iaitu e-hailing dan p-hailing.

“Tahun lepas juga daripada keseluruhan tuntutan bagi SKSPS ini, ada 4,758 kes pembayaran faedah mencecah RM24.2 juta dan ini merupakan jumlah besar. Bagi sektor pengangkutan barangan dan makanan sahaja, kita ada 1,535 kes tuntutan dengan pembayaran faedah hampir RM9 juta,” katanya.

Sehubungan itu, Sim berkata bagi meningkatkan lagi jumlah pekerja gig yang dilindungi di bawah PERKESO, pihaknya giat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membolehkan caruman dilakukan kepada penjaja yang dilesenkan di bawah mereka.

“Tahun lepas, kita juga ada bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Komunikasi untuk membolehkan pemandu bas, bas sekolah dan teksi serta golongan artis dan penggiat seni menikmati manfaat perlindungan caruman,” katanya.

Mengenai MoU itu, Sim berkata Foodpanda telah bersetuju untuk menaja kira-kira RM200,000  bagi memberikan skim pelindungan secara percuma kepada lebih 8,000 penghantar barangan mereka.

Sementara itu, Tan berharap menerusi kerjasama yang dimeterai hari ini, Foodpanda akan dapat membina ekosistem yang tersusun dan menyokong yang mengimbangi fleksibiliti  serta keselamatan untuk penunggang mereka.

“Ini bukan kali pertama Foodpanda mengambil langkah seumpama ini… dengan perkembangan ekonomi gig, penting untuk kami terus memberikan sokongan kepada penunggang kami dalam mencapai kehidupan yang mampan.

“Sehubungan itu, pada masa akan datang, Foodpanda akan terus meneroka cara baharu untuk menyokong penunggangnya, memastikan mereka mendapat pengiktirafan dan perlindungan yang layak," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan