KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony kerana didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dijadualkan esok, ditangguh ke 7 Feb ini.
Peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili Peter, 53, ketika dihubungi Bernama hari ini berkata tarikh baharu itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Putrajaya menerusi surat bertarikh 7 Jan lepas.
"Dalam surat menyatakan prosiding esok dilapangkan dan keputusan rayuan ditangguhkan ke 7 Feb," kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin turut mengesahkan perkara berkenaan.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 27 Nov tahun lepas untuk keputusan, namun ia ditangguhkan esok.
Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen di sini pada 26 Mei 2022.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu telah membayar denda.
Sebelum ini, Peter gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April 2023 dan ini merupakan rayuan terakhir Peter di Mahkamah Rayuan.
Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, dituduh memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial