AM

IRC 2025 Tekankan Inovasi, Kawal Selia Dalam Era Digital

09/01/2025 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berakhir dengan penuh kejayaan, menekankan peranan hubungan antara inovasi dan kawal selia dalam era digital yang berkembang pesat.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata persidangan itu membincangkan isu penting meliputi kawal selia telekomunikasi, ketahanan siber serta kesan transformasi kecerdasan buatan (AI), blok rantai dan pengkomputeran kuantum dalam sektor termasuk keterjaminan makanan, penjagaan kesihatan, logistik dan kelestarian tenaga.

“IRC 2025 telah membuktikan bahawa kerjasama mampu menjadi pemangkin penciptaan masa depan yang selamat, inklusif dan mampan. Malaysia komited untuk memimpin melalui contoh dan menggalakkan perkongsian yang menekankan kepercayaan, etika, dan kelestarian," katanya dalam ucapan pada penutup IRC 2025 di sini hari ini.

Persidangan dua hari itu yang bermula semalam menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar dan pakar global antaranya dari ASEAN, Australia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Teo berkata MCMC terus komited untuk memupuk ekosistem yang inklusif dan mampan dengan usaha proakif membentuk masa depan yang saling terhubung untuk Malaysia.

“Pada 2023, MCMC telah menurunkan sejumlah 6,297 kandungan berunsurkan penipuan dalam media sosial. Angka ini melonjak kepada 63,652 kes pada 2024, mencatatkan peningkatan yang ketara.

“Antara kes yang dikenal pasti ialah deepfake yang dihasilkan oleh AI dan penyamaran tokoh terkenal seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Bahan-bahan ini telah digunakan sebagai alat untuk melakukan penipuan, termasuk skim pelaburan palsu yang mengeksploitasi kepercayaan orang ramai," katanya.

Teo dalam pada itu turut menggesa penyedia platform seperti Meta untuk mempertingkatkan proses saringan mereka dalam menerima iklan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan