TAWAU, 12 Jan (Bernama) -- Sebanyak 62 rumah dan sebuah masjid musnah dalam kebakaran di penempatan atas air di Kampung Sri Aman 2 di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 7.46 pagi.
"Rumah-rumah di kawasan itu terlalu rapat antara satu sama lain dan keadaan air laut yang surut ketika itu menyukarkan pasukan bomba melakukan pemadaman, menyebabkan mereka terpaksa menarik sumber air dari pili bomba serta jalan besar yang berjarak kira-kira 180 meter,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata faktor angin tidak menentu juga menyukarkan pasukan bomba meramalkan pergerakan angin dan terpaksa membuat 'fire break’ dengan merobohkan dua rumah bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke tempat lain.
"Berikutan jambatan runtuh, pasukan bomba juga terpaksa memohon bantuan penduduk kampung untuk membantu mengangkat pam ke sebelah kampung,” katanya.
Jemishin berkata kira-kira 250 rumah berjaya diselamatkan selepas ‘fire break’ dilakukan dan operasi terkawal pada 9.20 pagi, namun kerja-kerja pemadaman bara masih dijalankan.
Kejadian katanya tidak menyebabkan kemalangan jiwa manakala punca dan kerugian sedang disiasat.
Seorang mangsa kebakaran, Wati Majuran, 30, berkata dia menyedari berlaku kebakaran apabila terdengar jeritan anaknya yang berusia empat tahun.
"Ketika itu saya sedang menyapu di bawah tangga. Anak menjerit dari atas rumah 'ibu, ibu, api hitam' lalu saya bergegas naik ke rumah dan melihat api marak di bahagian dapur.
“Anak yang lain pula di bilik dan ada yang masih tidur. Saya panik, hanya fikir mahu selamatkan empat anak lalu terus mengambil dokumen surat lahir mereka dan segera keluar rumah,” katanya sambil menambah suaminya tiada di rumah kerana bekerja di Kunak.
Karim Abdul, 40, seorang pekerja hotel pula berkata dia menerima panggilan telefon berkaitan kejadian ketika bekerja lalu bergegas pulang ke rumah.
“Alhamdulillah isteri dan anak-anak selamat, tetapi kami tinggal sehelai sepinggang. Api merebak sangat cepat dan pergerakan angin pun tidak menentu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial