CHUKAI, 21 Jan (Bernama) -- Seramai 1,000 orang dari golongan memerlukan serta mangsa banjir di Terengganu menerima sumbangan Ihsan MADANI hari ini.
Sumbangan keseluruhan berjumlah RM120,000 itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azman berkata sumbangan Ihsan MADANI yang dikoordinasikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu bertujuan meringankan beban rakyat yang berdepan kekangan kewangan.
Beliau berkata ia juga sebahagian daripada program jelajah bagi menyantuni rakyat seluruh negara.
"Terengganu adalah negeri keempat selepas jelajah Ihsan MADANI di sebelah utara di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Esok kita akan ke Kelantan untuk menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 1,000 penerima," katanya kepada pemberita selepas penyampaian bantuan Ihsan MADANI di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kemaman & Kompleks Rakan Muda Kemaman di sini hari ini.
Selain sumbangan tunai, penerima turut menerima bantuan barangan dapur yang diadakan secara kerjasama dengan Persatuan Amal Ikatan Setia Kasih Terengganu.
Sementara itu, seorang penerima Yong Kim San, 61, berkata sumbangan itu sedikit sebanyak dapat digunakan sebagai persiapan menyambut Tahun Baru Cina.
"Bantuan ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan perpaduan terhadap masalah rakyat. Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, bantuan daripada kerajaan amat diperlukan," katanya.
Seorang lagi penerima Zarudin Ismail, 53, dari Felda Neram 1 yang memiliki lima anak berkata sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membeli barangan dapur.
"Pelbagai jenis bantuan yang disediakan kerajaan MADANI menunjukkan kecaknaan Perdana Menteri terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang politik. Selain sumbangan Ihsan MADANI, saya adalah penerima manfaat daripada program Sumbangan Tunai Rahmah (STR)," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial