PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk mengikut langkah negara lain yang mengehadkan akses dalam talian berdasarkan had umur, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Sebaliknya beliau berkata Malaysia akan mengambil pendekatan yang lebih seimbang dalam menangani isu keselamatan dalam talian, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak dengan mempertimbangkan latar belakang sosio-budaya dan landskap perundangan negara.
“Sebagai contoh ramai yang bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk mengikuti jejak langkah Australia untuk mengekang had umur 16 tahun untuk akses ke media sosial.
“Kita pada waktu ini tidak berhasrat untuk mengikut bulat-bulat apa yang dilakukan oleh mana-mana negara lain, tetapi kita akan imbangi mengambil kira latar belakang sosio-budaya dan juga landskap perundangan dan kawal selia sedia ada dalam negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panelis pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE) 2025 di sini hari ini.
Australia pada 28 Nov 2024 meluluskan Rang Undang-Undang untuk mengharamkan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah usia 16 tahun.
Langkah itu sekali gus menetapkan piawaian bagi negara lain untuk turut serta dalam usaha global bagi mengawal kuasa teknologi.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus diminta untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dengan badan kawal selia di negara lain, bagi mengatasi isu jenayah dalam talian yang semakin membimbangkan.
“Isu keselamatan siber dan keselamatan dalam talian ini tidak boleh dipisahkan, apatah lagi dalam keadaan penjenayah berhijrah secara massa ke media sosial.
“Jadi, langkah dan tindakan perundangan yang mereka (badan kawal selia negara lain) ambil dalam menangani jenayah dalam talian boleh memberikan panduan kepada kita,” katanya.
Ditanya mengenai metodologi untuk mengimbangi kebolehcapaian Internet dan keselamatan dalam talian, Fahmi berkata walaupun terdapat beberapa permasalahan namun pihaknya akan terus melaksanakan advokasi agar lebih ramai cakna terhadap isu berkenaan.
“..tapi bila kita menyediakan kesalinghubungan, bila kita bawa Internet... kita dapati ada yang terjerumus kepada judi dalam talian seterusnya jadi mangsa penipuan.
“Maka untuk mengimbangi antara akses dan keselamatan penting, (jadi) para pengguna juga diberikan pemahaman mengenai aspek keselamatan asas yang perlu mereka amalkan. Inilah yang akan kita laksanakan melalui kempen kesedaran keselamatan dalam talian,” katanya.
Fahmi semalam melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Kelantan, antara lain merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi MCMC untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian, sekali gus mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.
Dilaporkan jelajah itu akan diperluas ke seluruh negara bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat, selain penguatkuasaan pelaksanaan pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial, pindaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta perundangan baharu Akta Keselamatan Dalam Talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial