AM

Program ‘Cashless Society Scalling Up’ Diperluas Ke Tiga Negeri Bermula Februari - MCMC

22/01/2025 06:52 PM

PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Program ‘Cashless Society Scalling Up’ Fasa Tiga diperluas ke Perak, Terengganu dan Perlis bermula pertengahan bulan depan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan selepas majlis pelancaran program itu di sini hari ini, memaklumkan pelbagai aktiviti dirancang di tiga negeri berkenaan termasuk di 27 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perak sebelum diteruskan ke Terengganu pada suku kedua dan Perlis pada suku ketiga tahun ini.

“Fasa Tiga ini menyasarkan 56 lokasi melibatkan kira-kira 25,000 pengunjung sekali gus memudahkan lebih 12,000 transaksi tanpa tunai dan dijangka menerima pendaftaran daripada lebih 2,000 peniaga digital baharu,” menurut MCMC.

Program ‘Cashless Society Scaling Up’ yang dilancarkan pada 2022 itu digerakkan ke seluruh negara selama lima tahun dengan Fasa Satu dan Dua dilaksanakan di Melaka, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Sehingga kini, program itu berjaya menarik kehadiran lebih 44,000 pengunjung, memudahkan lebih 18,000 transaksi tanpa tunai, mendaftarkan lebih 4,200 peniaga digital baharu dan menjalankan hampir 550 aktiviti kesedaran di NADI, menurut kenyataan itu.

Program ‘Cashless Society Scaling Up’ mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri, FELDA serta beberapa rakan strategik utama antaranya Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Maybank di samping bakal rakan strategik baharu BoostBank, GXBank, AEON Bank, AFFIN Bank, BerryPay dan Fiuu.

Program itu bertujuan memperkasakan masyarakat luar bandar dan golongan kurang mendapat manfaat terutamanya warga emas, belia, orang kurang upaya (OKU) dan peniaga untuk menggunakan pembayaran dan transaksi digital.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan