KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah hari ini berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul di Istana Nurul Iman Brunei Darussalam bagi membincangkan isu kerjasama dua hala dalam pembangunan mampan.
Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam pertemuan itu perbincangan turut menumpukan kepada isu perpaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran global.
Sempena lawatan rasmi ke Brunei itu, Johari turut menghadap Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah yang juga Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam.
“Perbincangan menyentuh mengenai usaha sama antara Brunei dan Malaysia untuk memacu inovasi digital serta pembangunan belia ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Johari turut mengundang rakan sejawatnya Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman Mohamed Taib untuk menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN yang bakal diadakan di Kuala Lumpur tahun ini, sejajar peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Pertemuan empat mata antara dua pemimpin legislatif itu memberi tumpuan untuk memperkukuh diplomasi parlimen dan meneroka kerjasama strategik antara kedua-dua negara merangkumi isu-isu berkepentingan seperti kestabilan serantau, pengukuhan hubungan antara rakyat dan usaha untuk mencapai matlamat bersama ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial