AM

UM Kekal Institusi Terunggul, Raih Pengiktirafan Global Dalam Bidang Undang-Undang

23/01/2025 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) mengekalkan kedudukannya sebagai institusi terkemuka di Malaysia menerusi ranking terkini Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject sekali gus mencatat sejarah dengan penyenaraian pertama bidang Undang-Undang dalam kumpulan 151-175 di peringkat global.

UM dalam kenyataan hari ini memaklumkan lapan daripada 11 kategori bidang subjek di universiti itu meraih kedudukan tertinggi di Malaysia iaitu Perniagaan dan Ekonomi, Perubatan dan Kesihatan, Sains Komputer, Pendidikan, Kejuruteraan, Sains Hayat, Psikologi dan Sains Sosial.

“Di samping kecemerlangan dalam bidang-bidang subjek ini, UM turut mencatat peningkatan dalam ranking global untuk lima bidang subjek, mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi universiti terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi, dan pendidikan yang membawa perubahan besar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pencapaian berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan UM sebagai institusi terunggul di Malaysia, Asia dan dunia, didorong oleh inovasi strategik, inklusif, serta usaha gigih dalam memperkasa ilmu dan kecemerlangan.

Sementara itu, Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata pengiktirafan tersebut khususnya pencapaian pertama dalam bidang undang-undang, adalah satu detik kebanggaan bagi universiti itu yang melambangkan komitmen kukuh terhadap kualiti dan standard akademik bertaraf dunia.

“Ia mencerminkan dedikasi UM dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia, memupuk kecemerlangan akademik, serta menyumbang secara signifikan kepada masyarakat dan dunia.

“Kejayaan ranking ini, bukti dedikasi dan usaha keras seluruh komuniti kampus, terutamanya bakat akademik dan penyelidikan kami, serta tenaga kerja bukan akademik yang telah bekerja tanpa mengenal lelah untuk mencapai Indikator Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan secara dalaman,” katanya.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan aspirasi utama UM untuk mencipta kejayaan baharu bagi dunia dan menyumbang kepada kemajuan tamadun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan