CYBERJAYA, 24 Jan (Bernama) — Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) membuka permohonan untuk menyertai Program Latihan dan Penempatan Sijil Profesional Keselamatan Siber EC Council Tahun 2024/2025, bertujuan meningkatkan tenaga mahir dalam bidang keselamatan siber dan teknologi maklumat.
Program ini terbuka kepada siswazah masyarakat India yang memiliki Diploma atau Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat. Mereka yang terpilih akan menerima latihan percuma selama empat bulan serta penempatan kerjaya, dengan 200 peserta yang akan dipilih.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P.Prabakaran berkata bidang keselamatan siber menjadi satu daripada sektor kritikal dalam ekosistem digital dengan permintaan terhadap tenaga kerja dalam bidang berkenaan semakin meningkat.
“Walaupun ramai siswazah tempatan berjaya menamatkan pengajian teknologi maklumat, namun mereka tidak mampu melopori kerjaya keselamatan siber kerana jurang antara kemahiran dan keseluruhan industri.
“Oleh itu, untuk meningkatkan kapasiti mereka dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah dalam bidang teknologi, maka MITRA telah merangka program berkenaan dan mereka juga akan diberikan elaun sara hidup sepanjang menyertai program itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Program itu akan dikendalikan oleh Intellize Tech Services Sdn. Bhd. (Intellize) dengan kerjasama EC Council, iaitu badan pensijilan teknikal keselamatan siber terbesar di dunia, yang memberikan pengiktirafan dan sijil kepada individu dalam pelbagai kemahiran e-perniagaan dan keselamatan maklumat.
Di bawah program berkenaan, para peserta akan ditawarkan sijil profesional dalam EC Council Security Specialist, Certified Network Defender dan Certified Ethical Hacker yang bernilai hampir RM17,000, selain juga akan didedahkan kepada kemahiran insani (soft skills) seperti etika pemakaian, penulisan resume dan sebagainya.
“Disebabkan kos yang tinggi, peserta akan terikat dengan kontrak bersama Intellize iaitu peserta yang gagal menghabiskan program itu perlu membayar kembali kos yang terlibat dan perkara itu akan diuruskan oleh Intellize,” kata Prabakaran.
Setakat ini, hampir 50 peserta telah layak untuk menyertai program ini dan mereka dijadualkan untuk memulakan latihan pada Februari ini, dengan 25 peserta bagi setiap fasa latihan yang dijalankan secara berterusan.
Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://www.intellize.com.my/mitra/ sehingga 31 Jan ini.
Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan program itu boleh diajukan kepada MITRA atau Intellize di talian 03-88866262/03-88866002/03- 88008932 pada hari bekerja atau e-mel kepada sek@mitra.gov.my atau mitra-ecc@intellize.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial