AM

Ancaman 'Pak Belang': Penduduk Kampung Kolam Dinasihat Kurangkan Aktiviti Malam

26/01/2025 01:17 PM

IPOH, 26 Jan (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menasihatkan penduduk Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di sini, mengurangkan aktiviti pada waktu malam susulan serangan harimau belang terhadap ternakan penduduk pada 17 Jan. 

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata ia bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan dikhuatiri haiwan pemangsa itu akan kembali ke lokasi serangan untuk mencari sumber makanan.

“Kita minta penduduk, khususnya jangan keluar ke hutan atau ke kandang ternakan pada waktu menghampiri malam kerana kita khuatir berlaku kejadian tidak diingini.

“Walaupun kita percaya harimau itu telah beredar ke lokasi lain namun kebarangkalian untuk kembali ke kawasan serangan tetap ada disebabkan ia berdekatan hutan serta kandang ternakan penduduk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 19 Jan, Perhilitan Perak mengesahkan menerima laporan berhubung serangan itu daripada penduduk berdasarkan penemuan tapak kaki serta kecederaan ke atas lembu berkenaan.

Perhilitan kemudian memasang kamera dan perangkap khas sebagai tindakan susulan bagi tujuan mengesan kelibat “Raja Rimba” di kawasan terbabit.

Selain itu, Yusoff berkata pihaknya tidak bercadang mengubah posisi kamera dan perangkap yang dipasang meskipun tiada sebarang petunjuk haiwan pemangsa itu kembali berkeliaran di lokasi serangan.

“Kita hanya akan buka kamera atau perangkap (yang dipasang) bergantung kepada jejak dan kepastian sama ada harimau itu telah beredar jauh atau sebaliknya,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan