AM

Wan Junaidi Seru Masyarakat Cina Bersama-sama Kukuhkan Integrasi Merentasi Kaum

27/01/2025 05:15 PM

KUCHING, 27 Jan (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru masyarakat Cina untuk terus bersama-sama memperkukuh lagi integrasi merentasi kaum bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan.

Beliau berkata usaha untuk menggalakkan integrasi itu tidak seharusnya terbatas kepada wacana semata-mata tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan yang nyata dan berkesan.

“Kerjasama erat antara kaum hendaklah dijadikan keutamaan untuk memastikan kesejahteraan bersama dapat dicapai,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025.

Beliau berkata masyarakat Bumiputera juga harus memanfaatkan pengalaman dan kepakaran komuniti Cina dalam bidang ekonomi, keusahawanan dan pendidikan untuk meningkatkan daya saing bersama.

“Masyarakat Cina telah memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan Sarawak,” kata beliau sambil menambah di bawah kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg komuniti itu terus menjadi rakan strategik dalam pelbagai inisiatif pembangunan negeri.

Wan Junaidi berkata pendidikan turut ditekankan sebagai elemen penting dalam pembangunan Sarawak dan menyeru agar semua kaum bersama-sama menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) selain Bahasa Inggeris.

“Penguasaan STEM bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing rakyat Sarawak tetapi juga memastikan penglibatan aktif dalam pembangunan negeri secara keseluruhan,” kata beliau yang yakin inisiatif kerajaan Sarawak memperkenalkan pendidikan tinggi percuma mulai 2026 akan dapat memberikan akses lebih luas kepada rakyat untuk mendapat pendidikan berkualiti.

Beliau juga meminta semua rakyat agar menjadikan Tahun Baharu Cina ini sebagai peluang untuk memulakan sesuatu yang positif untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan, meningkatkan kualiti kerja dan menyumbang kepada keharmonian masyarakat.

“Dalam dunia yang semakin mencabar, semangat kerjasama dan saling memahami antara kaum adalah kunci kepada kejayaan bersama,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan