AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Sabah, Sarawak Menurun Malam Ini

01/02/2025 10:36 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak menurun dan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup setakat 8 malam ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 1,485 orang berbanding 1,702 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan daerah Beluran pulih sepenuhnya dan semua PPS ditutup 6 petang tadi, menjadikan hanya sembilan PPS dibuka di empat daerah di negeri itu.

“Pitas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 819 mangsa, diikuti Lahad Datu (520), Beaufort (110) dan Paitan (36). Trend pemindahan mangsa di daerah Lahad Datu menunjukkan peningkatan manakala daerah-daerah lain kekal tidak berubah,” menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan kepada 12,423 orang berbanding 12,656 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan bahagian Bintulu (melibatkan daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh) yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi sejak bencana itu bermula terus menunjukkan penurunan kepada 5,672 orang berbanding 5,712 sebelum ini.

“Jumlah mangsa di bahagian Serian (daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin) kekal pada 2,576 orang manakala di bahagian Samarahan (daerah Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong) meningkat sedikit kepada 1,921 orang.

“Di bahagian Sibu (daerah Sibu, Selangau dan Kanowit) turut merekodkan peningkatan kepada 1,165 orang, dengan jumlah mangsa di bahagian Miri (daerah Miri, Subis dan Beluru) meningkat kepada 1,057 orang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan mangsa banjir di bahagian Mukah (daerah Mukah dan Matu) pula meningkat kepada 32 orang manakala kesemua tiga PPS di Kuching ditutup hari ini susulan keadaan banjir di bahagian itu pulih sepenuhnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan