JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Bomoh Muda Cabul Kanak-kanak

04/02/2025 02:34 PM

DUNGUN, 4 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang bomoh lelaki selepas didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan di daerah Kemaman pada 31 Januari lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata dalam kejadian sekitar 1 pagi itu, suspek yang berusia 20 tahun telah datang ke rumah mangsa untuk memberi rawatan penyakit sihir.

Beliau berkata ketika proses rawatan, suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait kes rogol dikatakan mencabul mangsa yang berusia 11 tahun.

"Ibu bapa mangsa yang berusia 41 tahun telah membuat laporan polis pada 1 Februari lalu selepas mangsa mengadu dicabul oleh bomoh tersebut.

"Suspek yang belum berkahwin ditahan di kediamannya di Kerteh pada 10.20 malam, hari sama bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan.

Mohd Khairi berkata suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan hukuman sebat, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 643 kes jenayah seksual direkodkan di seluruh Terengganu sepanjang tahun lepas termasuk 154 kes melibatkan mangsa kanak-kanak.

"Jumlah kes kesalahan seksual di Terengganu didapati meningkat lebih 18 peratus berbanding 504 kes pada 2023," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan