AM

Banjir Di Sabah, Sarawak Kembali Meningkat Pagi Ini

07/02/2025 10:47 AM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sarawak dan Sabah kembali meningkat dengan keseluruhan 5,313 mangsa berada di pusat pemindahan sementara  (PPS) di kedua-dua negeri, setakat 8 pagi tadi.

Di SARAWAK, mangsa banjir meningkat kepada 4,705 orang di 24 PPS berbanding 4,341 orang malam tadi, dengan empat bahagian iaitu Bintulu, Sibu, Miri dan Mukah mencatatkan penambahan jumlah mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan mangsa banjir di lima PPS di Bintulu meningkat kepada 1,880 orang berbanding 1,612 orang, di Sibu (1,186), Miri (961) dan Mukah (614).

Manakala jumlah mangsa di dua bahagian lain yang turut terjejas dengan bencana itu tidak berubah, dengan Samarahan mencatatkan 51 mangsa dan Sarikei 13 mangsa dengan masing-masing di sebuah PPS.

Sementara itu di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 608 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 479 orang malam tadi apabila sebuah PPS di Dewan Selagon Beaufort dibuka semula petang semalam.

Menurut sekretariat itu 223 orang ditempatkan di PPS Beaufort, 253 orang di dua PPS daerah Kinabatangan dan 132 orang di dua PPS daerah Keningau.

“Sebanyak lima PPS di Sabah dibuka melibatkan tiga daerah iaitu Keningau, Beaufort, dan Kinabatangan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan