AM

Bantuan Kerajaan "Redakan" Resah Nelayan Terengganu

08/02/2025 11:14 AM

KUALA TERENGGANU, 8 Feb (Bernama) -- Selagi Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir, selagi itulah laut seperti membataskan peluang untuk nelayan, terutama dengan bot kecil, untuk turun ke laut mencari rezeki.

Bukan itu sahaja, sesi persekolahan 2025 yang akan bermula kurang dua minggu kadangkala merunsingkan ibu bapa untuk membeli keperluan anak-anak kembali ke sekolah.

Bagaimanapun, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang disalurkan kerajaan sejak 13 Jan lepas memberi sedikit kelegaan dalam menyediakan barang persekolahan anak-anak.

Ismail Abdul, 55, berkata wang sebanyak RM150 diterima anak bongsunya yang berusia 13 tahun itu dicampur dengan wang simpanannya dapat membantu membeli kelengkapan, seperti pakaian seragam sekolah dan alat tulis yang baharu.

“Duit ini (bantuan) boleh tampung sikit-sikit mana yang kita ada untuk beli barang-barang anak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ismail yang sudah tiga bulan tidak ke laut sejak MTL bermula November tahun lepas berkata sepanjang tiga bulan ini, dia hanya mengambil upah membuat bubu dengan bayaran RM20 bagi setiap biji yang disiapkannya.

Berpendapatan tidak menentu sebagai nelayan, iaitu antara RM800 hingga RM1,500 sebulan, namun bapa enam anak itu bersyukur kerana turut memperoleh Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sejak Ogos tahun lepas.

Bagi tukang bot Mohd Azwa Saidi, 39, pemberian duit BAP itu tepat pada masanya bagi menampung pembelian barang persekolahan tiga anaknya dan dia hanya perlu menambah perbelanjaan kira-kira 20 peratus.

“BAP ini sangat-sangat meringankan beban ibu bapa, lagi-lagi yang hanya ada satu pendapatan seperti saya … alhamdulillah,” katanya yang telah 15 tahun bekerja membaiki bot. 

BAP bagi murid tahun satu hingga tingkatan empat sesi 2024/2025 diagihkan bermula pada 13 Jan lepas manakala bagi pelajar tingkatan enam semester dua dan tahun satu sesi 2025/2026, agihan akan bermula pada 16 Feb ini.

STR Fasa 1 2025 pula telah disalurkan bermula 22 Jan lepas dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion pada 2024.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan