AM

Individu Dipanggil Sertai PLKN 3.0 Wajib Hadir - JLKN

08/02/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Individu yang dipanggil menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, wajib hadir dan sekiranya berhalangan mereka perlu membuat permohonan untuk menangguhkan kemasukan. 

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jen Datuk Ya'cob Samiran berkata bagi individu yang sedang bekerja, mereka perlu mendapat kebenaran daripada majikan untuk pelepasan dan pihak majikan harus memberikan justifikasi jika mereka tidak memberi pelepasan kepada bakal pelatih.

“Jadi sekiranya majikan tidak membenarkan, itu ada proses lain yang kita akan laksanakan,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan menembak senjata ringan PLKN 3.0 2025 di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Beliau berkata permohonan penangguhan itu perlu dilakukan pada siri kedua dan seterusnya kerana hanya siri pertama PLKN 3.0, para pelatih hadir secara sukarela.

Mengulas mengenai sesi latihan menembak senjata ringan, Ya’cob berkata ia dibahagikan kepada dua hari iaitu hari ini dengan seramai 67 pelatih dan esok bagi 53 pelatih.

Beliau berkata bagi sesi hari ini, seramai 40 pelatih lelaki dan 27 wanita memulakan sesi latihan pada 9 pagi dipantau 10 jurulatih daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Para pelatih sebelum menembak ini, mereka diberikan peluang atau diberi pendidikan berkenaan dengan pengurusan senjata sekurang-kurangnya lebih seminggu,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sesi menembak senjata ringan dimulakan dengan latihan pelarasan senjata ringan pada jarak 25 meter (m) diikuti jarak 100m menggunakan senapang M16.

Sebelum latihan bermula, jurulatih Kapten Muhammad Shawal Mohamad Illias memberikan taklimat keselamatan kepada kesemua pelatih termasuk pengamal media yang hadir. 

Pada 12 Jan, seramai 120 pelatih diterima menyertai PLKN 3.0 siri pertama 2025 membabitkan 80 pelatih lelaki dan 40 wanita berumur antara 18 hingga 25 tahun.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan jumlah itu termasuk 13 orang yang hadir secara terus datang pada sesi pendaftaran di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini, membabitkan pelbagai latar belakang bangsa, agama, pendidikan dan lokaliti.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan