POLITIK

Keputusan Keahlian Dengan Mana-mana Parti Akan Dibincang Dengan Presiden UMNO - Tengku Zafrul

09/02/2025 06:55 PM

SHAH ALAM, 9 Feb (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sebarang keputusan yang bakal beliau ambil mengenai keahliannya dengan mana-mana parti akan dibincangkan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu. 

Beliau berkata pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat hanya selepas beliau berbincang dengan Ahmad Zahid.

"Saya kena sampaikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid terlebih dahulu," katanya selepas menghadiri program amal Golf KITA 2025 di sini hari ini, yang dirasmikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Baru-baru ini timbul spekulasi Tengku Zafrul akan meninggalkan UMNO selepas dikatakan tiada lagi masa depan politiknya dalam parti tersebut, dan media juga sebelum ini melaporkan yang beliau pernah dipelawa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) beberapa bulan lepas.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata beliau sedia maklum dengan laporan media mengenai cadangan pihak tertentu supaya beliau dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat selepas penggalnya sebagai senator berakhir Disember depan. 

"Bagi saya apa-apa pun jawatan yang diberi sekarang atau pada masa hadapan, itu terpulang kepada Perdana Menteri," katanya dan menambah fokus beliau kini adalah meneruskan tugas penting di kementerian, termasuk memainkan peranan dalam menjayakan komitmen Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan